Tuesday, 3 January 2012

*(REALITI PERJUANGAN ISLAM*)

Realiti perjuangan Islam

Menghayati maksud firman Allah SWT ini, maka inilah perjuangan Islam di bawa PAS yang ingin membawa masyarakat mengenali Tuhan Yang Maha Mencipta alam ini iaitu Allah SWT. Inilah hasrat para ulama Tanah Melayu satu ketika dahulu yang mengambil inisiatif menubuhkan Parti Islam Se-Tanah Melayu dan hari ini dikenali sebagai Parti Islam Se-Malaysia atau singkatnya PAS.

Dari awal penubuhannya hinggalah ke hari ini, matlamatnya tidak pernah lari walau seinci, tidak pernah berganjak walau sejengkal. Misi utamanya ialah memperkenalkan Allah SWT sebagai pencipta dan mengajak manusia mengabdikan diri kepada Allah SWT bukan hanya di tikar sejadah tetapi di medan siasah.

Allah itu yang disembah di dalam solat, Allah itu jugalah yang disembah di dalam pentadbiran. Inilah hakikat yang tidak dibawa oleh UMNO yang menyebabkan para alim ulama yang asalnya berada di dalam UMNO bertindak keluar menubuhkan PAS.

Sejak 50 tahun yang lampau, kita tidak pernah lekang menyebut hakikat ini di hadapan rakyat jelata. Jatuh bangun kita sepanjang melalui jalan politik ini tidak pernah menjauhkan kita walau sedikit dari matlamat utama memperkenalkan Islam yang tulen kepada masyarakat.

Kita mengajak semua lapisan rakyat untuk meyakini bahawa dunia ini diciptakan oleh Allah SWT dengan manusia hanya bertaraf penumpang walau sebesar manapun pangkat dan kuasanya. Kita juga menyeru rakyat agar meyakini bahawa selepas hidup ini akan tiba kehidupan yang lain iaitu alam akhirat. Di alam akhiratlah segala amalan manusia akan dibalas tanpa ditinggalkan sedikitpun oleh Hakim Yang Maha Adil iaitu Allah SWT.

PAS akan terus menongkat cita-cita murni ini walau sehebat manapun gelora yang membadai. Kita penuh yakin bahawa UMNO tidak akan jujur di dalam memperkenalkan Islam kepada rakyat Malaysia khususnya.

Bagi kita, ke hulu atau ke hilir kita berakit, tetap Islam menjadi tali pengikatnya. Jika kita boleh menerima bahawa di rumah ada peraturan yang perlu dipatuhi oleh anak-anak, di sekolah ada peraturan yang perlu dipatuhi oleh para pelajar, di dalam negara ada peraturan yang perlu dipatuhi oleh rakyat, maka sudah tentu di bumi ada peraturan yang perlu dipatuhi.

Peraturan tersebut ialah Islam dan bukan semangat nasionalis yang membawa kepada ideologi perkauman yang sempit. Kesemua enakmen-enakmen peraturan hidup di dunia ini telah termaktub di dalam al-Quran selaku lidah rasmi Allah SWT atau disebut sebagai kalamullah.

No comments:

Post a Comment