Saturday 8 August 2015

SaBaRkAh aKu DiUjI????

8/8/2015~~



Adakah kita bila di timpa sesuatu musibah atau ujian kita akan lebih menjadi sabar atau kita akan merungut sebabnya kita merasakan kita tidak mampu untuk menghadapinya. Padahal ujian yang diterima kerana Allah sangat menyayangi kita untuk kita lebih mengingatiNya. Cuba kita fikir sekiranya kita sentiasa berada dalam keadaan senang lenang, sentiasa mendapat tuah, harta limpah luah, selalu mengecapi kebahagiaan dalam hidup. Adakah kita akan lebih mengingatiNya?. Ya saya mengaku tidak semua akan sempurna, sehingga boleh mencapai tahap kesabarannya yang tinggi. Kata orang ‘sabar itu ada tahapnya, kadang-kadang akan hilang terus sabarnya’. Jarang sekali kita mengatakan bahawa nikmat yang diberikan Allah itu sebenarnya juga merupakan ujian dari Allah. Orang kaya yang banyak harta, sentiasa diselubungi ketakutan kerana takut perompak akan masuk ke rumah banglonya. Allah mencintai hamba-hambaNya dengan cara unik dan berbeza-beza. Semakin tinggi ketakwaan seorang hamba, semakin unik cara Dia mencintainya. Salah seorang hambaNya adalah Nabi Ayub. Seorang nabi yang diuji oleh Allah dengan harta, keluarga serta kesihatannya. Suatu saat ketika para malaikat membicarakan tentang manusia dan sejauh mana mereka beribadah kepada Allah. Salah seorang daripada mereka berkata: “Tidak ada di muka bumi ini seorang yang lebih baik daripada Nabi Ayub. Beliau adalah orang mukmin yang paling sukses, orang mukmin yang paling agung keimanannya, yang paling banyak beribadah kepada Allah SWT dan bersyukur atas nikmat-nikmatNya dan selalu berdakwah di jalanNya” Syaitan mendengarkan perbualan para malaikat lalu mereka mencuba untuk menggoda Nabi Ayub. Tetapi kerana keimanan Nabi Ayub yang sangat tinggi kepada Allah syaitan mendapat kesulitan mendapatkan jalan untuk mengganggu. Pertama beliau diuji hartanya yang semakin susut. Lalu menjadi fakir dalam sekelip mata. Ujian kedua kematian anak-anaknya, namun beliau masih sabar dan pada masa memupuk ketakwaan pada Allah. Yang paling teruk ujian yang dihadapi Nabi Ayub, beliau terkena penyakit sakit kulit di mana tubuhnya membusuk dan mengeluarkan nanah. Selama 7 tahun beliau menderita dengan penyakitnya, bahkan keluarganya dan sahabat-sahabatnya memulaukannya kecuali isterinya. Walaupun menghadapi uijian getir itu keimanan kepada Allah langsung tidak terjejas. Beliau sabar menghadapi dugaan dengan hatinya yang tidak ketinggalan mengingati Allah. Masyaallah utuhnya keimanan Nabi Ayub sehingga di uji begitu dahsyat tapi masih lagi tidak menyalahkan Tuhannya. Semakin berat sakit yang dirasa, semakin cinta Nabi Ayub kepada Allah. Dan mulianya Nabi Ayub, semakin parah penyakitnya semakin ia tersenyum. Allah dan para malaikat pun akan tersenyum oleh kesabaran lelaki mengagumkan itu. “Sesungguhnya Kami dapati dia (Ayub) seorang yang sabar. Dialah sebaik-baik hamba. Sesungguhnya dia amat taat (kepada Tuhannya)”((QS Shad :44) Semua orang pernah menghadapi ujian, cuma berbeza-beza ujian yang dihadapi, dan cara dia menangani. Saya juga pernah merasai pahitnya bila berdepan dengan musibah. Allahuakbar!! Hanya iman membatasi tahap kesabaran kita. Merungut pernah, mengungkit pun pernah, tapi siapa kita jika nak dibandingkan dengan Allah. Allah pencipta kita, Dia tahu tahap kemampuan hambaNya untuk menghadapi ujian kerana Firman Allah SWT “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (QS. Al-Baqarah 286) Sangat jauh bezanya tahap kesabaran kita dengan Nabi Ayub. boleh tersenyum bila sakit. Kita menangis dan mengeluh bila ditimpa kesakitan. Saya pun alhamdulillah baru sihat, seminggu Allah tarik nikmat sihat saya. Allah...risau sangat bila terpaksa korbankan kelas lagi-lagi sekarang dah tahun last. Bila ditimpa kesakitan semua kita tidak mampu buat sehingga amal ibadah, kita buat sambil lewa kerana badan kita terlalu lemah. Padahal waktu itulah kita lagi pertingkatkan amal ibadah, minta moga Allah sembuhkan kita, merintih padanya, merayu padanya dalam keadaan solat, zikir, baca Al-Quran dan dengan ibadah yang lain. Tapi ingat bukan bila sakit kita ingat Allah tapi kita perlulah ingat Allah dalam keadaan susah mahupun senang. Malulah pada Allah. Insyaallah bila kita sihat, kita boleh jalankan kembali amal kita sebagai orang mukmin. Boleh berbakti untuk orang lain. Moga kita sama-sama mengambil iktibar dari kisah Nabi Ayub. Allah SWT berfirman: “Dan (ingatlah kisah) Ayub ketika ia menyeru Tuhannya: (‘ Ya Tuhanku), sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan Yang Maha Penyayang di antara semua penyayang’. Maka Kami Pun memperkenankan seruannya itu, lalu Kami lenyapkan penyakit yang ada padannya dan Kami kembalikan keluarganya kepadanya, dan Kami lipat gandakan bilangan mereka, sebagai suatu rahmat dari sisi Kami dan untuk menjadi peringatan bagi semua yang menyembah Allah  (QS AL-ANBIYA 83-84) 


HASIL
NUKILAN :NFATHILA

Thursday 13 February 2014

*#@HARAM SAMBUT VALENTINE!!APA ITU VALENTINE?@#*

Haram sambut Hari Valentine!!!




Mungkin ramai yang pernah tertanya-tanya, apa itu Valentine?

Valentine merujuk kepada 3 orang 'martyrs' atau pastor dalam agama Kristian yang diberi nama St Valentine. Salah seorang daripada mereka telah mati di Rom akibat penganiyaan ketua Gothic Claudius. Sebuah gereja telah didirikan di tempat kematiannya untuk mengabadikan kematiannya di Rom.

Apabila orang Rom memeluk Kristian, mereka meneruskan sambutan kematian St Valentine yang dikenali sebagai 'The Feast Of Lover'. St Valentine telah dianggap mati syahid oleh orang Kristian kerana beliau teraniaya. St Valentine digelar sebagai 'The Patron Saint of Lover'

Terdapat 3 versi kisah Valentine, namun tiada satu pun yang dapat dipastikan kesahihannya. Valentine's Day telah pun dihapuskan daripada kalendar Kristian namun ada yang masih berdegil dan tetap mengamalkannya pada zaman ini disebabkan oleh perbezaan mazhab dalam Kristian.

Versi I :
Kaisar Claudius II menyembah dewa yang dianggap Tuhan pada zaman Romawi. Apabila tiba ajaran Kristian, ramai yang mula berpaling tadah dan murtad. Mereka memeluk agama Kristian sehingga Kaisar terpaksa mengarahkan ramai mubaligh Kristian ditangkap dan dipenjarakan.

St Valentine adalah salah seorang daripadanya yang tidak mahu berhenti menyebarkan ajaran Kristian walaupun diseksa teruk. Walaupun dipenjarakan, beliau tetap menyebarkan dakyah Kristian dalam penjara. Akhirnya, St Valentine dijatuhkan hukuman bunuh oleh Claudius pada tanggal 14 Februari.

Versi II :
Kaisar Claudius II menganggap bahawa orang yang lebih muda dan tidak berkahwin adalah lebih kuat untuk berperang. St Valentine telah mencetuskan murka Kaisar Claudius apabila beliau telah berjaya menikahkan ramai pemuda Romawi di Rom. Beliau lalu dihukum gantung pada 14 Februari 269M.

Versi III :
Penerimaan upacara kematian St Valentine juga dikaitkan dengan kepercayaan Eropah iaitu waktu kasih sayang itu bersemi bagai 'burung jantan dan betina' pada 14 Februari. Dalam bahasa Perancis Normandia, terdapat perkataan 'Galentine' yang bermaksud 'galent' atau cinta. Persamaan bunyi antara 'Galentine' dan 'Valentine' menyebabkan ramai orang berfikir bahawa sebaiknya para pemuda mencari pasangan hidupnya pada 14 Februari.

***

Mengapa Valentine's Day haram disambut?

Umat Islam diharamkan menyambut Valentine's Day kerana :

a) Menyerupai agama lain.
"Barangsiapa yang meniru atau mengikuti sesuatu kaum (agama), maka dia termasuk kaum agama itu" (Hadis Riwayat Abu Daud)

b) Membawa ke arah penzinaaan.
Fakta, statistik dan kajian menunjukkan banyak berlakunya penzinaan dan kelahiran anak luar nikah pada tarikh Valentine's Day disambut. Hal ini kerana menurut ajaran Kristian, seorang wanita itu mestilah hamil untuk menunjukkan kesuburannya sebelum menikahi seseorang lelaki. Mereka dikehendaki melakukan hubungan seksual terlebih dahulu dan setelah itu barulah menikah. Jika lelaki tersebut tidak mahu menikahi dengan wanita itu, tidak mengapa, anak dalam kandungannya tetap akan disandarkan kepada bapanya walaupun hubungan mereka akhiranya tidak diakhiri dengan pernikahan. Selain itu, lelaki juga berhak berzina dengan ramai perempuan dan perempuan juga berhak berzina dengan ramai lelaki.

"Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya zina itu suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk" (Al Isra' : ayat 32)

"Telah ditentukan anak Adam darinya setiap perbuatan zina, zina mata adalah dengan memandang, zina telinga adalah dengan mendengar, zina tangan adalah dengan menggenggam, dan zina kaki adalah dengan melangkah. Sedangkan hati berkeinginan dan berandai-andai dan kemaluan mempratikkan keinginan untuk berzina atau menolaknya" (Mutafaqun Alaih)

3) Ulama menfatwakan haram menyambut Valentine's Day bagi mengelakkan mudarat kepada ummah. Contohnya, isu murtad dan perpecahan dalam Islam.

"Barangsiapa mencari selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah diterima agama itu daripadanya dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi" (Ali Imran : ayat 85)
Sebarkan...




sumber ilmu:ustaz fiqh,

WrItTeN By:#FeYlLa91#

Saturday 8 February 2014

*Kesalahan dan Kesilapan Suami Terhadap Isteri*`~



ASSALAMUALAIKUM WBT.SUDAH LAME X UPDATE BLOG.JADI HARI NI KITA MMBUKE ENTRY BARU..:)SELAMAT MEMBACA..MARILAH BERKONGSI ILMU BERSAMA...YANG BAIK DATANG DARI ALLAH.YANG LEMAH DAN SALAH.DARI SY SENDIRI.

Dalam institusi perkahwinan, lelaki ialah ketua keluarga sesuai dengan fitrah kejadiannya yang lebih gagah dan beberapa kelebihan lain berbanding wanita. Tanggungjawab lelaki sebagai ketua (pemimpin) kepada perempuan ditegaskan oleh Allah melalui firman-Nya bermaksud:
“Lelaki ialah pemimpin bagi perempuan oleh kerana Allah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan), dan kerana lelaki telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka.” (Surah an-Nisa, ayat 34)
Islam mensyaratkan lelaki sentiasa menjadi pelindung dan berbuat baik terhadap wanita. Sebagai pemimpin, lelaki dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan, kebajikan dan menyediakan keperluan hidup untuk isteri dan anak mereka. Walaubagaimanapun, pada hari ini kita melihat ramai suami yang semakin jauh dari tanggungjawab dan tugas mereka yang sebenar. Mungkin, kerana itulah banyak rumahtangga yang runtuh akibat kurangnya penghayatan suami kepada nilai-nilai murni dalam baitul muslim yang dibina. Berikut disenaraikan 10 kesalahan dan kesilapan yang sering dilakukan oleh suami terhadap isteri mereka:

1. Tidak mengajarkan AGAMA dan HUKUM syariat kepada isteri.
Banyak kita dapati para isteri tidak mengetahui bagaimana cara solat yang betul, hukum haid & nifas, bertingkahlaku/berperilaku terhadap suami secara tidak syar’ie dan tidak mendidik anak-anak secara Islam. Bahkan ada yang terjerumus ke dalam pelbagai jenis kesyirikan. Yang menjadi perhatian seorang isteri hanyalah bagaimana cara memasak dan menghidangkan makanan tertentu, cara berdandan yang cantik dan sebagainya. Tidak lain semua kerana tuntutan suami, sedangkan masalah AGAMA, terutama ibadahnya tidak pernah ditanyakan oleh suami.
Allah Ta’ala berfirman yang bermaksud:
“Wahai orang–orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yg di perintahkan-Nya kpd mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintakan.” (Surah At-Tahrim:6)
Para suami hendaklah mengajarkan agama kepada isteri mereka sama ada secara langsung ataupun melalui perantaraan. Melalui perantaraan itu contohnya menghadiahkan buku-buku tentang Islam & hukum-hukumnya serta berbincang bersama-sama, kaset/cd ceramah, mengajak isterinya menghadiri ke majlis-majlis ILMU yang disampaikan oleh orang-orang yang berilmu dan sebagainya. (yang paling praktikal, ajaklah solat berjemaah di rumah atau di surau/masjid). Maka, amat penting bagi para suami untuk mempersiapkan diri dengan ilmu sebelum membuat keputusan untuk melangkah ke alam rumahtangga.

2. Suka mencari kekurangan dan kesalahan isteri.
Dalam suatu hadith riwayat Bukhari & Muslim, Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam melarang lelaki yang berpergian dalam waktu yang lama, pulang menemui keluarganya di waktu malam, kerana dikhuatiri akan mendapati berbagai kekurangan isteri dan cela isterinya. Bahkan suami diminta bersabar dan menahan diri dari kekurangan yang ada pada isterinya, juga ketika isteri tidak melaksanakan kewajipannya. Kerana suami juga mempunyai kekurangan dan celaan seperti sabda Rasulullah:
“Janganlah seorang suami yang beriman membenci isterinya yang beriman. Jika dia tidak menyukai satu akhlak darinya, dia pasti meredhai akhlak lain darinya.” {Hadith riwayat Muslim}

3. Memberi hukuman yang tidak sesuai dengan kesalahan isteri.
Ini termasuk bentuk kezaliman terhadap isteri, iaitu:
a) Menggunakan pukulan di tahap awal pemberitahuan hukuman (sila rujuk Al-Quran, Surah An-Nisa : 34)
b) Mengusir isteri dari rumahnya tanpa ada kebenaran secara syar’ie (sila rujuk Al-Quran, Surah Ath-Thalaq : 1)
c) Memukul wajah, mencela dan menghina.
Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bermaksud:
“Hendaklah engkau memberinya makan jika engkau makan, memberinya pakaian jika engkau berpakaian, tidak memukul wajah, tidak menjelek-jelekkan & tidak menghajar(boikot) kecuali di dalam rumah.” (H.R. Ibnu Majah disahihkan oleh Syeikh Albani)

4. Culas dalam memberi nafkah kepada isteri.
“Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan.” (Surah Al-Baqarah : 233)
Isteri berhak mendapatkan nafkah dari suami, kerana dia telah membolehkan suaminya bersenang–senang kepadanya, dia telah mentaati suaminya, tinggal di rumahnya, mengasuh dan mendidik anak-anaknya. Dan jika isteri mendapati suaminya culas dalam memberi nafkah, bakhil, tidak memberikan nafkah kepadanya tanpa ada pembenaran syar’ie, maka dia boleh mengambil harta suami untuk mencukupi keperluannya secara ma’ruf (tidak berlebihan) meskipun tanpa pengetahuan suaminya.
Sabda Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam yang bermaksud:
“Jika seorang muslim mengeluarkan nafkah untuk keluarganya sedangkan dia mengharapkan pahalanya, maka nafkah itu adalah sedekah baginya.” (Muttafaq ‘alaih)

5. Sikap keras, kasar, tidak lembut terhadap isteri.
Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam bersabda, maksudnya:
“Mukmin yang paling sempurna adalah yang paling baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kalian adalah yang paling baik tehadap isteri-isterinya.” (Hadith riwayat at-Tirmidzi, disahihkan oleh Syeikh Albani)
Seperti yang disabdakan oleh Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam, seseorang suami itu haruslah berakhlak baik, bersikap lembut dan tidak kasar terhadap isterinya. Hal ini kerana, suami yang bersikap kasar pasti akan menggugat kebahagiaan hubungan antara dirinya dengan isteri.

6. Suami sombong untuk membantu isteri dalam urusan rumahtangga.
Sesetengah suami sombong dan malas untuk membantu isteri dalam urusan rumahtangga. Disebabkan sikap ini, sesetengah isteri merasa dirinya terbeban dan tertekan. Marilah contohi Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam dalam melayani isterinya Aisyah r.ha.
Ketika Aisyah r.ha ditanya tentang apa yang dilakukan Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam di rumahnya, beliau menjawab:
“Beliau membantu pekerjaan isterinya & jika datang waktu solat, maka beliau pun keluar untuk solat.” (Hadith riwayat Bukhari)

7. Menyebarkan rahsia dan aib isteri.
“Sesungguhnya diantara orang yang paling buruk kedudukannya di sisi Allah pada hari kiamat adalah seseorang yang menggauli isterinya dan isterinya menggaulinya kemudian dia menyebarkan rahsia-rahsia isterinya.” (Hadith riwayat Muslim)
Dalam hadith ini diHARAMkan seorang suami menyebarkan apa yang terjadi antara dia dengan isterinya terutamanya di tempat tidur. Juga diharamkan menyebutkan perinciannya, serta apa yang terjadi pada isterinya baik berupa perkataan mahupun perbuatan lainnya.

8. Sikap terburu-buru dalam menceraikan isteri.
Islam menganggap penceraian adalah perkara besar yang tidak boleh diremehkan kerana penceraian akan menyeret kepada kerosakan, kacau bilaunya pendidikan anak dan sebagainya. Dan hendaknya perkataan cerai/talak itu tidak digunakan sebagai bahan gurauan/mainan. Kerana Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda yang bermaksud:
“Ada 3 hal yang kesungguhannya dan gurauannya sama-sama dianggap sungguh-sungguh iaitu: NIKAH, TALAK (cerai) dan RUJUK.” (Hadith riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah, dinilai “hasan” oleh asy-Syeikh Albani)
Penceraian tidak boleh dijadikan sebagai langkah pertama dalam penyelesaian perselisihan. Bahkan harus diusahakan berbagai cara untuk menyelesaikannya, kerana kemungkinan besar akan banyak rasa penyesalan yang ditimbulkan dikemudian hari kelak.
Rasulullah sollallahu ‘alahi wasallam bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya Iblis meletakkan singgahsananya di atas air (laut), kemudian ia mengutus para tenteranya. Maka tentera yang paling dekat dengan Iblis adalah yang paling besar fitnahnya (penyesatannya). Maka datanglah salah satu tenteranya dan melapor: Aku telah melakukan ini dan itu, maka Iblis berkata: Engkau belum melakukan apa-apa, kemudian datanglah tentera yang lain dan melapor: Aku telah menggodanya hingga akhirnya aku menceraikannya dengan isterinya. Maka Iblis pun mendekatkan tentera syaitan ini di sisinya lalu berkata: Engkau tentera terbaik.” (Hadith riwayat Muslim)

9. Berpoligami tanpa memperhatikan ketentuan syari’at.
Bernikah untuk kedua kali, ketiga dan keempat kali merupakan salah satu perkara yang Allah syariatkan. Tetapi, terdapat sebahagian orang yang ingin menerapkan syariat ini/telah menerapkannya tidak memperhatikan sikapnya yang tidak memenuhi kewajipan serta tanggungjawab terhadap isteri. Terutama isteri pertama dan anak-anaknya.
Dalam Surah an-Nisa, ayat 3, Allah Ta’ala berfirman yang bermaksud:
“Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinlah) seorang sahaja.”
Memang benar berpoligami merupakan syariat Islam, tetapi jika seseorang tidak mampu melaksanakannya dengan baik dan tidak memenuhi syarat-syaratnya atau tidak boleh memikul tanggungjawabnya, hal ini boleh menjurus kepada kerosakan sesebuah rumahtangga, menghancurkan masa depan anak-anak dan menambah permasalahan keluarga dan juga kepada masyarakat. Maka fikirkanlah akibatnya dan perhatikanlah dengan saksama perkaranya sebelum membuat keputusan.

10. Lemah kecemburuan terhadap isteri.
Para suami membiarkan keelokan, keindahan dan kecantikan isterinya dinikmati dan dipertontonkan kepada bukan mahram. Dia membiarkan isterinya mendedahkan aurat ketika keluar rumah, dan membiarkan berkumpul dengan lelaki-lelaki bukan mahram. Bahkan ada sebahagian suami bangga kerana memiliki isteri yang cantik dan boleh dinikmati oleh pandangan kebanyakan orang. Padahal wanita dimata Islam adalah makhluk yang sangat mulia, sehingga keindahan dan keelokannya hanya diperuntukkan atau dikhususkan untuk suaminya sahaja dan tidak sesekali ‘dijaja’ ke mana-mana pun.
Seorang suami yang memiliki kecemburuan terhadap isterinya tidak akan membiarkan isterinya berjabat tangan dengan lelaki lain yang bukan mahram.
Perhatikan ancaman Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam terhadap lelaki yang tidak memiliki kecemburuan terhadap keluarga (isteri):
“Tiga golongan yang Allah s.w.t tidak akan melihat mereka pada hari kiamat iaitu seseorang yang derhaka kepada kedua orang tuanya, wanita yang menyerupai lelaki dan ad-Dayyuts.” (Hadith riwayat An-Nasa’i, dinilai ‘hasan’ oleh syeikh Albani, lihat ash-Shahihah : 674)
Ad-Dayyuts(dayus) itu ialah LELAKI yang tidak memiliki kecemburuan terhadap keluarganya.
Maka, marilah sama-sama kita beringat dan muhasabah diri sentiasa. Hal ini bukan hanya untuk para suami, malah penting juga untuk mereka yang belum menjadi suami, agar persediaan sebelum mendirikan baitul muslim itu lengkap.
والله أعلمُ بالـصـواب

#FEYLLA91#

Monday 10 June 2013

~#$$HaNtArAn Oh HaNtAraN~#$$


Kalau dulu, majlis yang pakai khemah yang tinggi-tinggi ni majlis wakil rakyat jer", Pakcik Wahid memulakan bicara.
"Sekarang saya tengok, majlis bertunang pun orang dah buat majlis besar-besaran. Siap pasang khemah banyak-banyak pulak tu",tambahnya lagi.
Saya mengangguk tanda setuju.
Memang diakui. Kebelakangan ini semakin rancak majlis pertunangan diadakan. Jika dahulu kita dapat dengar orang memperkatakan tentang wang hantaran semakin tinggi disebabkan harga minyak petrol naik, sekarang ramai pula yang memperkatakan tentang kenduri sempena bertunang.
Mengapa majlis bertunang sudah gah ditontonkan kepada masyarakat?
Sedangkan ianya sangat bertentangan dengan apa yang Rasulullah Sholallahu A'laihi Wasalam pesankan kepada kita. RAHSIAKAN PERTUNANGAN, HEBOHKAN PERNIKAHAN.
Kita belum tahu lagi apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Mungkinkah masyarakat kita akan buat Majlis Perkenalan sebelum dilangsungkan Majlis Pertunangan! Siapa tahu?
#PERIHAL MAJLIS PERTUNANGAN#
"Kita jangan ikut artis. Apa yang artis buat semua nak tiru sedangkan tak mampu. Last-last yang susahnya pihak lelaki yang kena sediakan hantaran tinggi sebab pihak perempuan nak buat majlis pertunangan. Nak grand la katakan. Adoi", keluh Pakcik Wahid lagi.
Majlis bertunang sudah dibuat kad jemputan. Majlis bertunang pun sudah ada pelamin.Majlis bertunang sudah dijemputnya pasukan kompang. Majlis bertunang juga sudah ada baju bertunang. Semuanya persis sebuah majlis perkahwinan yang membazir.
Apabila semua ini telah menjadi satu 'keperluan' kepada masyarakat, semakin tinggilah kos sebuah perkahwinan.

Apa yang lebih membimbangkan, ada pasangan yang sanggup berhutang untuk mengadakan majlis bertunang tetapi baru hari ini bertunang esok sudah putus!
Ikatan pertunangan adalah proses berkenal-kenalan sesama pasangan dan keluarga. Jika dalam tempoh bertunang itu dirasakan tidak sesuai, tidak mengapa jika diputuskan pertunangan kerana dikhuatiri akan membawa masalah selepas berkahwin.
Jika bertunang pun diheboh-hebohkan, tidakkah malu bagi pihak perempuan jika pertunangan mereka terpaksa diputuskan? Sedangkan bertunang itu bukanlah satu ikatan sah.
WANG HANTARAN MAHAL?
Masih ingat lagi dengan jadual WANG HANTARAN MENGIKUT TARAF PENDIDIKAN yang popular di Facebook sekarang?
UPSR, PMR/SRP : RM1,000 – RM3,000
SPM : RM3,000 – RM8,000
STPM/DIPLOMA : RM8,000 – RM12,000
DEGREE : RM12,000 – RM15,000
2ND DEGREE/MASTER : RM15,000 – RM20,000
PHD : RM20,000 – RM30,000
Tak mustahil semua ini akan menjadi fenomena Global! Kebiasaannya sekarang, pihak perempuan akan minta wang hantaran sebanyak RM10,000 atau lebih. Fikirkan, bagaimana mahu mencari duit yang sebanyak itu? Sebab itulah ramai yang pinjam ALONG untuk TOLONG mereka kahwin dan akhirnya TERLOLONG begitu sahaja (tak mampu bayar pinjaman).
Mungkinkah seorang lelaki yang baru menamatkan pengajian di Universiti dan baru mula bekerja dapat mengumpul wang sebanyak itu dalam tempoh yang sangat minima?
Tidak semua mendapat gaji yang tinggi sewaktu mula-mula bekerja. Ditambah lagi dengan bebanan pinjaman pendidikan yang perlu dilangsaikan, memang sangat memeritkan kepada pihak lelaki untuk mengumpul wang untuk berkahwin.
*CINTA PUNYA PASAL*
"Kerana cintaku kepadamu, akanku bayar seluas lautan untukmu" (Cewahhh!!)
Bagi lelaki pula, cinta menyebabkan mereka sanggup untuk mengharungi semua itu. Berapa yang pihak perempuan minta disanggupkan sahaja. Kalau tak dapat nak sediakan wang hantaran yang diminta, ramai lagi anak Dato' yang bersusun untuk meminang si dara. Melepas nanti!
Jika soal cinta diperjuangkan, mengapa pula si dara tidak mahu membantu si teruna untuk meminangnya? Bukankah jika ada cinta semuanya akan mudah belaka? Mengapa pihak perempuan tidak mahu menasihati keluarganya untuk meletakkan kadar hantaran yang MAMPU BAYAR kepada pihak lelaki.
Bukankah itu juga satu bentuk pengorbanan dalam cinta oleh pihak perempuan?
$WANG HANTARAN SESUATU YANG WAJIB KE?$
Kos berkahwin yang begitu tinggi menyebabkan ramai lelaki menangguhkan perkahwinan mereka. Bukannya soal tiada calon tetapi sebab tak ada ongkosnya!
Tetapi jika kita kembali kepada Islam, perkahwinan sangat dipermudahkan. Ada kisah seorang sahabat Nabi yang mahu berkahwin tetapi tidak mempunyai wang :
Dari Riwayat Muslim, hadis Sahl bin Saad RA katanya :
Pada satu ketika seorang perempuan datang berjumpa Nabi Muhammad SAW seraya berkata:
"Wahai Rasulullah! Aku telah datang untuk menyerahkan diriku kepadamu".
Lalu Nabi SAW memandang kepadanya sambil mendongak kepadanya dan memerhatikan dengan teliti kemudian baginda mengangguk-anggukkan kepalanya.
Apabila perempuan itu mendapati Nabi Muhammad SAW diam tanpa memberi keputusan, perempuan itu segera duduk, lalu bangunlah seorang sahabat dan berkata:
"Wahai Rasulullah! Sekiranya kamu tidak ingin mengahwininya kahwinkanlah aku dengannya".
Nabi SAW segera bertanya: "Adakah engkau memiliki sesuatu yang boleh dijadikan MAS-KAHWIN".
Sahabat menjawab: "Tidak ada!"
Nabi SAW bersabda: "Pulanglah menemui keluargamu mencari sesuatu yang boleh dijadikan mas-kahwin".
Lantas sahabat tersebut pulang, kemudian beliau kembali menemui Nabi SAW dan berkata:
"Demi Allah! Aku tidak menjumpai apa-apa pun yang boleh dijadikan mas-kahwin".
Maka Nabi SAW bersabda lagi:
"Carilah walaupun sebentuk CINCIN BESI".
Lalu sahabat tersebut pulang dan datang kembali serta berkata:
"Wahai Rasulullah! Demi Allah aku tidak menjumpai apa-apa walaupun sebentuk cincin besi, tetapi aku hanya memiliki kainku ini iaitu kain yang hanya boleh menutupi bahagian bawah badannya".
(Sahl berkata: Sahabat ini tidak mempunyai pakaian yang menutup bahagian atas badan).
Nabi SAW bersabda : "Apa yang engkau boleh buat dengan kain engkau itu, sekiranya engkau memakai kain itu. Perempuan tersebut tidak dapat memakainya walaupun sedikit. Apabila dia memakai kain tersebut engkau tidak mempunyai apa-apa untuk dipakai".
Sahabat itu duduk sehinggalah sekian lama kemudian bangun. Nabi SAW memandang kepadanya seterusnya dia beredar dari situ. Setelah itu Baginda SAW memerintahkan supaya dia dipanggil. Apabila sahabat tersebut sampai, Nabi SAW bertanya:
"Apakah yang engkau miliki daripada Al-Quran?"
Sahabat tersebut menjawab: "Aku hafaz surah itu dan surah ini".
Sahabat berkenaan menghitungnya, Nabi SAW bersabda lagi:
"Adakah engkau membacanya secara hafalan?"
Sahabat tersebut menjawab: "Ya!"
Nabi SAW nersabda :
"Pergilah! Engkau telah memilikinya bermas-kahwinkan ayat atau surah Al-Quran yang engkau hafaz".
Kredit : Melayu.Com

Sesungguhnya Islam tidak meletakkan kadar Mas Kahwin yang wajib diberikan kepada isteri. Tetapi kebetulan pula setiap negeri sudah meletakkan harga Mas Kahwin yang wajib dibayar oleh pengantin lelaki kepada pengantin perempuan dan harga mas kahwin itu tidaklah terlalu membebankan. Misalnya di Selangor, harga mas kahwin hanya RM300 sahaja!
Hantaran dan Mas Kahwin sesuatu yang berbeza. Hantaran adalah adat dan mas kahwin adalah syariat. Mudahkan perkahwinan dan jangan bebankan dengan sesuatu yang tidak perlu.
Berbelanja mengikut kemampuan dan tak perlu mengejar populariti dalam perkahwinan. Apa yang penting bukannya majlisnya yang 'meletup', tetapi pengisian selepas perkahwinan yang harus hebat (bertanggungjawab dalam perkahwinan).
Renungkan apa yang Nabi Muhammad pesan kepada kita tentang soal perkahwinan :
"Daripada Aisyah, Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud: 'Sesungguhnya nikah yang paling besar keberkatannya ialah yang paling murah (rendah) maharnya.'"
(Hadis riwayat Al-Baihaqi)
Di akhir perbualan saya dengan Pakcik Wahid, "Kalau saya nak pinjam duit kat pakcik untuk kahwin, lebih baik pakcik yang kahwin!"
Apakah?

~#sumber ilmu ili~#



Friday 31 May 2013

#PilIh jOdOh BerTudUng @MeNUtUp AuRaT??#


"Aku tak nak kahwin dengan perempuan yang bertudung!"
"Haa? Kenapa?"
"Aku nak kahwin dengan wanita yang tutup aurat."
Alhamdulillah. Tersenyum hati mendengar jawapan yang serius itu. Tentunya jejaka tersebut seorang yang sangat menjaga diri dan kehidupannya. Pasti dia bukan calang-calang lelaki.
Bayangkanlah, pasangan hidup yang dipilih bukan sekadar bertudung tetapi lengkap menutup aurat. Dalam erti kata lain, dia sedar bahawa urusan perkahwinan bukanlah perkara yang remeh. Hanya insan yang mentaati Allah dan Rasul-Nya sahaja yang terpaut di hati untuk dijadikan permaisuri dalam istana rumah tangga.
Lihatlah di sekeliling kita. Apa yang berlaku dalam masyarakat Islam hari ini? Berapa ramai wanita yang bertudung? Pasti boleh dibilang dengan jari bukan? Tidak ramai. Yang bertudung pula, tidak semua menutup aurat dengan sempurna.
Buktinya? Kita boleh lihat dengan mata kepala kita sendiri. Mereka bertudung tetapi tidak labuh hingga menutupi dada. Pakaian pula ketat, singkat, tipis, malah ada yang berlengan pendek. Jelasnya, mereka hanya bertudung namun dalam masa yang sama tetap mendedahkan aurat.

Hayati kembali perintah Allah ini;
ا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُل لِّأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاء الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِن جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَن يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُوراً رَّحِيماً
Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka". Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal,maka mereka tidak akan diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
[33:59] 
Faktor inilah yang menyebabkan lelaki-lelaki yang beriman sangat memilih dalam soal pemilihan calon isteri. Bagi mukmin yang betul-betul hidup kerana Allah, dia pasti akan berfikir lima enam kali sekiranya diminta untuk memilih wanita yang 'bertudung tapi mendedahkan aurat'. Kemungkinan besar, permintaan wanita itu akan ditolak atau tidak dilayan.
Bagaimana pula dengan wanita yang langsung tidak bertudung? Di mana mereka di hati orang mukmin? Adakah mereka akan menjadi pilihan hati lelaki-lelaki yang bertaqwa? Sudah pasti tidak! Sedangkan yang bertudung pun masih diragukan dan ditolak ke tepi, apatah lagi yang langsung tidak bertudung? Pasti akan dibuang sejauh-jauhnya.
"Cerewet sungguh orang-orang mukmin!"
Ya.. memang cerewet! Hehee..
Pernah membeli makanan di kedai kuih? Mana satu yang menjadi pilihan, kuih yang dibungkus penuh, atau kuih yang dibungkus separuh? Atau yang langsung tidak berbungkus? Saya yakin kita akan memilih yang berbungkus penuh kerana keadaannya dijamin lebih baik dan bersih.
Begitulah juga dengan orang-orang mukmin. Mereka memang sangat memilih dalam hal ini. Bukan apa, kehidupan berumah tangga diwujudkan semata-mata untuk beroleh rahmat daripada Allah agar bahagia di dunia dan di akihirat. Andai tersalah pilih atau memilih mengikut nafsu, maka akan hilanglah bahagia dikemudian hari.
Lagipun Rasulullah SAW pernah berpesan kepada kita semua ;
"Wanita dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, kerana kedudukannya/ keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka, pilihlah yang baik agamanya nescaya engkau beruntung."
[Riwayat Bukhari dan Muslim]
Rasulullah SAW ketika ditanya oleh para sahabat mengenai ciri wanita pilihan yang diperlukan oleh suami, Rasulullah SAW menjawab,
" Wanita yang menyenangkannya ketika dilihat. Wanita yang mentaatinya ketika disuruh, wanita yang tidak mengkhianatinya (tidak curang), dan wanita yang tidak mengkhianati hartanya pada perkara yang dibenci."
[Riwayat Abu Daud dan Nasai]
Wanita yang bertudung tetapi masih mendedahkan aurat di khalayak ramai merupakan wanita yang tidak serius menjalankan ketaatan kepada Allah. Wanita sebegini tidak mengamalkan ajaran Islam secara keseluruhan. Lantas bagaimana hendak dipilih menjadi calon isteri?
Cuba fikirkan sejenak..
Sedangkan perintah Allah SWT sanggup diabaikan inikan pula kita sebagai manusia biasa? Sudah pasti dengan mudah akan diingkari bukan? Pada masa itu, jangan hairan sekiranya kebahagiaan itu beransur-ansur hilang. Semuanya atas pilihan kita juga."Tapi jodoh sudah ditentukan! Kalau dia ditakdirkan untuk berkahwin dengan orang yang tidak menutup aurat secara sempurna, apa boleh buat.. memilih-milih pun tiada guna."
Ya.. jodoh memang sudah ditentukan oleh Allah. Allah sahajalah yang layak menyatukan hati-hati insan kerana hanya Dia yang mengetahui perihal hati. Kita jangan lupa bahawa jodoh atau ketetapan itu dijalankan dengan penuh keadilan oleh Allah SWT. Allah sesekali tidak akan menzalimi hamba-Nya. Allah tidak akan pernah mengecewakan hamba-Nya.
Lelaki baik yang beriman pasti akan berkahwin dengan perempuan baik yang beriman. Sebaliknya, lelaki yang tidak beriman akan berkahwin dengan perempuan yang tidak beriman juga. Itu janji Allah!
الْخَبِيثَاتُ لِلْخَبِيثِينَ وَالْخَبِيثُونَ لِلْخَبِيثَاتِ وَالطَّيِّبَاتُ لِلطَّيِّبِينَ وَالطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَاتِ
"Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula).
[24:26]
 
Maka, sebagai wanita..
Periksalah diri anda.. Tutuplah aurat dengan sempurna.
Bersungguh-sungguhlah mentaati Allah dan Rasul-Nya.
Usahlah terlalu sibuk memikirkan siapa yang bakal menjadi pasangan hidup kita,
sehingga lupa untuk sibuk memikirkan siapa diri kita di sisi Allah..
Kerana sikap diri kita hari ini menentukan sikap pasangan kita kemudian hari.
- sumber ilmu ili~

Wednesday 29 May 2013

(bertudung dengan sanggul TINNGI.bolehkah??)


Akhir akhir ini ada fenomena pemakaian hijab/tudung oleh wanita di Malaysia iaitu dengan membuat gelungan tinggi diatas kepala lalu menutupnya dengan hijab/tudung. Sehingga nampak gelungan rambut yang menonjol dan sebahagian orang berpendapat membuat wanita yang berjilbab lebih anggun. Sanggul itu menyerupai gelungan yang sangat tinggi yang memperlihatkan bahawa si pemakai tudung memiliki rambut yang panjang. Sebenarnya pemakaian jilbab sanggul seperti ini diperbolehkan  atau tidak dalam syariat islam? Ada sebahagaian yang menganggap haram dan ada yang menganggap tidak apa-apa. Kenapa haram kerana style seperti itu memperlihatkan aurat wanita.  Dengan jilbab yang tinggi mengindikasikan bahawa rambut wanita itu panjang. Dengan demikian aurat dari rambut wanita akan mudah diketahui.
Selain itu ada hadith yang menyebutkan bahawa ini  haram, hadith ini saya terjumpe ber Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Dua golongan di kalangan ahli neraka yang tidakkan aku pandang yaitu kaum yang bersama mereka cemeti seperti ekor lembu yang dengannya digunakan memukul orang lain dan wanita-wanita yang berpakaian bagaikan bertelanjang yang condong kepada maksiat dan menarik orang lain untuk membuat maksiat. Sanggul dikepala mereka ditusuk tinggi-tinggi seperti bonggol unta yang sangat lemah. Mereka ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya sedangkan sesungguhnya bau syurga itu sudah boleh dicium dari jarak demikian dan demikan.
(Riwayat Muslim).
Sedangkan mereka membolehkan sanggul tinggi menyatakan bahawa hal itu wajar, kerana wanita berambut panjang harus menggelung rambutnya jika memakai jilbab, bersanggul tinggi tidak melebih-lebihkan dalam penampilan. Yang penting auratnya ditutup karena Allah mewajibkan wanita menutup aurat untuk menjaga kecantikannya.
Masalah syariat dalam islam memang  susah untuk diterapkan. Seiring perkembangan zaman selalu muncul keadaan yang membuat kita harus berfikir kembali pada agama. Apakah agama kita membolehkan? Bagi kalian yang berjilbab silakan mencari info lagi yang banyak tentang hukum ini. Kalau saya sendiri tidak terlalu mempermasalahkan kerana menyanggul rambut yang panjang digunakan untuk memakai tudung adalah wajar. Asal sanggulnya juga tidak terlalu tinggi sehingga tidak nampak berlebihan..jika kajian saya salah ianya dtg dari silap saya sndiri.yang benar hanya dari ALLAH SWT..wallahualam....:)

Monday 27 May 2013

@_ReDhA ALLAH atau rEdhA mAnUsIA_@


Sudah menjadi lumrah apabila manusia sentiasa hendak dilihat menarik dan menjaga adab mereka walau di mana mereka berada di hadapan orang sekeliling. Kalau boleh semuanya ingin nampak sempurna dan terbaik. Dari segala aspek hidup, manusia akan menjaga tingkah laku sebaik-baiknya demi menjaga nama baik dan maruah seperti di majlis keramaian, di pejabat, majlis berbentuk protokol.
Manusia mengaplikasikan peraturan yang dicipta manusia sendiri, tetapi malangnya manusia lalai dalam mengaplikasikan peraturan yang hakiki yang dicipta oleh Yang Hakiki iaitu Allah SWT. Manusia lupa bahawa mematuhi peraturan sebenarnya yang akan dihitung, ditimbang dan dinilai di akhirat kelak berdasarkan amalan dan tingkah laku sehari-hari adalah 'standard' yang. Dan 'standard' inilah yang perlu dijaga sebaik-baiknya.
Menjaga 'standard' di pejabat
Kebanyakan pekerja sememangnya menjaga nama baik, sama ada nama baik diri, kumpulan mahupun jabatan. Waktu rehat pejabat secara umumnya adalah pada pukul 1 petang hingga 2 petang bagi pekerja awam dan swasta. Kebanyakan pekerja yang sentiasa mengikut peraturan akan keluar rehat pada pukul 1 tepat untuk melepak bersama kawan-kawan dan berborak sehingga hampir pukul 2 petang. Selepas itu, masuk semula ke pejabat pada pukul 2 petang, pekerja tersebut belum lagi solat walaupun waktu solat Zuhur sudah masuk.
'Eh.. dah pukul 2.00 lah. Aku naik pejabat dululah, tunjuk muka dulu, nanti turun ke surau untuk solat'.
 Sampai begitu sekali kah kita menjaga 'standard' di hadapan manusia? Sehinggakan kita mengabaikan tahap 'standard' yang sepatutnya kita jaga di hadapan Allah.
Abdullah bin Mas'ud telah bertanya kepada Rasulullah SAW:
"Apakah amalan yg paling disukai Allah SWT?" Sabda Rasulullah SAW: "Solat dengan menjaga waktunya.".
(Riwayat Bukhari, al-Jaami al-Sahih no.2782]).
Astaghfirullahala'zim.. Kita sanggup melewat-lewatkan solat hanya kerana tidak sanggup mendengar orang mengata kita. Kita sanggup mengabaikan 'pertemuan dengan Kekasih' kita, mengutamakan pertemuan dengan manusia 
Menjaga 'standard' di majlis keramaian
'Nanti aku nak beli baju baru berwarna merah dan hitam sebab konsep tema Makan Malam Tahunan kolej kita adalah warna hitam dan merah kan.."
'Alah..pakai sahaja baju yang kau ada, makan malam tu sekejap sahaja, jangan membazir..'
'Mana boleh, nanti orang akan pandang aku pelik dan mesti orang akan mengutuk aku sebab aku tak ikut tema'.
Betulkah fenomena seperti di atas selalu sahaja terjadi kepada kita? Astaghfirullahala'zim..
Selalu sahaja kita ingin mengejar peraturan yang dicipta manusia sendiri. Jika boleh, sebaik-baiknya kita hendak dilihat mengikut keseragaman dan sempurna di mata manusia. Tetapi kita lupa dan lalai bahawa Allah sudah menetapkan peraturan berpakaian yang sepatutnya bagi kaum Hawa dan Adam. Lantas, kita berlebih-lebihan, tidak menutup aurat dan menunjuk-nunjuk asbab ingin lebih mulia di sudut pandangan manusia.
Tidak salah hendak mengikut tema sesuatu majlis selagimana tidak lupa pada peraturan hakiki yang sebenar-benarnya. Namun, hakikatnya ramai manusia lebih memilih untuk menjaga 'standard' di hadapan manusia lain, sehingga tidak hairan lah ada yang lebih selesa berpakaian tidak menutup aurat sebaik-baiknya. Malah ada yang berpakaian tetapi singkat dan jarang. Hanya kerana tidak mahu dikatakan kolot dan tidak mengikut trend dan fesyen.
 Kita berlumba-luma untuk kelihatan anggun dan cantik di hadapan manusia. Tetapi kita selekeh dan comot sekali di hadapan Allah. Tidak sedarkah kita?
Mu'awiyah bin Haidah mengatakan : "Aku pernah bertanya : Ya Rasulullah , bagaimanakah aurat kami, apakah boleh dilihat oleh orang lain?". Baginda menjawab :"Jagalah auratmu kecuali terhadap isterimu atau hamba abdi milikmu". Aku bertanya lagi :" Ya Rasulullah , bagaimanakah kalau ramai orang mandi bercampur-baur di satu tempat? " Baginda menjawab : "Berusahalah seboleh mungkin agar engkau tidak melihat auratmu". Aku masih bertanya lagi: " Ya Rasulullah, bagaimanakah kalau orang mandi sendirian?" Baginda menjawab : " Seharuslah ia lebih malu kepada Allah daripada malu kepada orang lain".
(Hadis Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud).
Sesungguhnya kita hendak sahaja mengelakkan orang berprasangka buruk kepada kita, kerana itu dalam segala aspek kita hendak menjaga 'standard' di hadapan manusia, tetapi kita langsung tidak takut dan malu pada pandangan Allah SWT terhadap kita.
Kita lebih mencari kecintaan manusia lain berbanding kecintaan kepada Allah SWT kepada kita.
Kita lebih inginkan kemuliaan manusia daripada kemuliaan Allah SWT kepada kita.
Kita meraih redhanya manusia daripada redhanya Allah SWT sehingga sanggup mengenepikan hak Allah dengan melanggar perintah dan suruhanNya hanya kerana ingin menunaikan haknya manusia. Teringat suatu ketika Mu'awiyah meminta wasiat kepada isteri Baginda SAW iaitu Aisyah r.anha  lalu 'Aisyah menulis seperti yang pernah disebutkan oleh Baginda SAW yang bermaksud:-
"Sesungguhnya barangsiapa yang mencari redha Allah sedangkan manusia murka, maka Allah akan cukupkan baginya akan segalanya di dunia ini. Tetapi barangsiapa yang mencari keredhaan manusia dalam keadaan Allah murka, maka Allah menyerahkan nasibnya pada manusia."
(Hadis Sahih Riwayat At-Tirmizi).
Justeru, manakah yang lebih baik? Yang lebih mulia? Yang lebih tinggi ? Redhanya manusia atau redhaNya Allah.. Lalu mengapa terlalu menjaga 'Standard' di Hadapan Manusia – Kenapa Tidak Kerana Allah?
Semoga kita sentiasa muhasabah diri dan menjadi yang terbaik di hadapan Allah.  Jom 'Menjaga 'Standard' di hadapan Allah sebagai langkah ke Syurga'! ^_^ InsyaAllah.
- ~sumber ilmu ILI~