Tuesday 31 January 2012

:: Kehidupan Tipikal Manusia ::

A: "Astaghfirullahala'zim. Bila la kamu nak insaf ni bro?aku tengok tiap minggu ko asyik pergi clubbing je. Balik rumah mabuk."

B: "Lepak lu bro....nanti aku dah tua sikit aku taubat la bro. Masa muda masa untuk kita enjoy!"

Itulah kata-kata yang sudah terbiasa kita dengari sekarang bukan. Orang muda dengan perkataan 'enjoy'memang sinonim. Memang tujuan utama mereka dalam melakukan sesuatu perlu membawa seribu keseronokan.

Di sebalik semua yang berlaku ini pernahkah kita berfikir sejenak adakah kita diberi peluang untuk hidup selama 70, 80 mahupun 100 tahun lagi?

Sempatkah kita menjalankan amanah yang telah ditetapkan-Nya untuk kita?

Kita seringkali merujuk masa muda adalah masa untuk bersuka ria, masa untuk kumpul harta dan masa tua masa untuk kita beribadah, dengan kata lain kita insaf kembali ke pangkal jalan.

Saya berikan satu kronologi sebuah kehidupan bermula dari kelahiran kita hingga ke alam tua kita.

1) Alam kanak-kanak
Ibu lahirkan kita dengan begitu sakitnya yang tidak dapat kita bayangkan kesakitannya. Setelah kelahiran kita tercipta seribu harapan dan sandaran daripada ibu bapa kita agar kita menjadi seorang yang berguna kelak.

Zaman kanak-kanak sememangnya zaman yang sangat bermakna untuk kita smua dengan pelbagai suka dan duka sentiasa kita ingati sehingga kini. Di sinilah ibu bapa mencorakkan kita menjadi seorang individu yang berguna, di sinilah bermulanya asas-asas kita tentang agama diajarkan.

2) Alam remaja
Masuk pula zaman remaja iaitu kita telah akil baligh dan alam di mana kita ingin mencuba sesuatu yang baru. Pada masa ini akal sudah mula berfungsi untuk membezakan yang mana baik dan yang mana buruk.

3) Alam dewasa (kerja dan berumahtangga)
Alam ini kita telah menjadikan seorang yang boleh dipertanggungjawabkan dalam melaksanakan tugas-tugas, boleh memimpin sebuah keluarga. Di alam ini jugalah kita mula merealisasikan impian kita sejak dari kecil lagi contohnya mengumpul harta untuk menjadi jutawan dan sebagainya.

4) Alam tua
Setelah penat bekerja selama puluhan tahun, penat mengumpul harta, penat membesarkan anak, alam ini dikatakan alam untuk kita berehat. Bak kata orang putih 'retired'kan. Masa untuk kita mengenal Tuhannya.

Saya boleh jamin inilah kehidupan tipikal manusia sekarang.

Semua peringkat kehidupan yang saya nyatakan di atas jika kita pandang dari sudut keduniaan pastinya tidak memberikan kebahagiaan kita di akhirat kelak jika kita hanya mengejar dunia semata-mata tanpa adanya disulami dengan bekalan akhirat.

Sememangnya dari kecil lagi kita dah diajarkan ilmu agama yang secukupnya tetapi apa yang kita lihat trendsekarang, saya tidak menyatakan semua manusia zaman sekarang sebegini hanya segolongan sahaja, iaitu mereka yang mengejar kebahagiaan dunia semata-mata, bagi mereka kebahagiaan inilah kebahagiaan selama-lamanya untuk mereka.

Diajarkn ilmu agama yg mencukupi ketika kecil tetapi selepas membesar lalai dan hanyut dengan nikmat keduniaan dan godaan hawa nafsu dan syaitan sehingga lupa akan Tuhannya. Kebanyakan manusia sekarang apabila bekerja tidak ingat lagi dengan ibadah mereka terhadap Allah S.W.T.

Kerja lebih dipentingkan dan soal ibadah dan agama hanyalah perkara kecil bagi mereka. Pekerjaan yang kita lakukan selama puluhan tahun tanpa ada amal ibadah dalam masa tersebut dan hanya mengharapkan alam tua sebagai alam kita menebus dosa yang lampau.

Adakah cukup alam tua kita dihabiskan untuk beramal? Adakah kita akan hidup 100 tahun?

Kita ambil contoh umur Nabi kita, Nabi Muhammad S.A.W sebagai 'benchmark' ajal kita. Jika kita ambil umur nabi sebagai ajal kita iaitu 63 tahun Nabi wafat setelah kita pencen pada umur 58 tahun tinggallah baki tujuh tahun lagi untuk beribadat. Cukupkah itu?

Cukupkah ia dibawa untuk kita menghadap Allah S.W.T di akhirat kelak?

Masih mampu dan bertenagakah kita untuk melaksanakan perintahnya?

Sihatkah kita pada masa itu?

Itulah anggapan orang muda yang sering menganggap perjalanan hidup mereka masih jauh dan menetapkan alam tua itulah masa untuk kembali kepada-Nya.

Andai ditakdirkan kita meninggal dunia di usia yang muda dalam keadaan kita tidak melaksanakan syariat-Nya sudah pasti kita akan mendapat balasan yang setimpal di akhirat kelak. Kita hendaklah ada rasa gentar dalam diri kita akan ajal yang datang menjemput kita itu tidak mengenal usia.

Hendaklah kita sentiasa istiqomah dalam melakukan ibadah kepada-Nya sejak dari muda sampailah ke hari tua.

Sabda Nabi S.A.W:
"Orang yang paling bijak ialah orang yang sentiasa mengingati mati."

Rasulullah S.A.W telah menjelaskan perihal orang yang bijak iaitu orang yang sentiasa mengingati mati. Maka hendaklah kita menjadi salah seorang daripada orang bijak yang Nabi maksudkan. 

Kita sebagai manusia yang bekerjaya tidak kira kita memiliki pangkat yang tinggi atau jutawan yang menggunung banyaknya harta, memberi komitmen dalam urusan duniawi kita tanpa melupakan urusan akhirat kita. kita sepatutnya menyeimbangkan kedua-duanya.

"Bekerjalah seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun dan beribadatlah seolah-olah kamu akan mati keesokannya."

:: 10 Kemungkaran dan Bidaah Dalam Perkahwinan Melayu ::

                                           (GAMBAR SEKADAR HIASAN)


Dalam membuat persiapan perkahwinan, renungi hadis ini – “Sebenar-benar perkataan, adalah Kitabullah (al-Qur’an), sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad s.a.w, seburuk-buruk perkara adalah apa yang diada-adakan di dalam agama… (bersambung)


Yang dimaksudkan sebagai kemungkaran di sini adalah apa jua perkara yang dilarang dan diharamkan di dalam agama. Allah s.w.t berfirman: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesiapa yang mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji dan yang mungkar. Sekiranya tidaklah kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu sekalian, niscaya tidak seorang pun dari kamu bersih (dari perbuatan-perbuatan keji dan mungkar itu) selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (Surah an-Nur, 24: 21)

Wahai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk perkara yang diwajibkan (oleh Allah). (Surah Luqman, 31: 17)

Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. (Surah al-Hasyr, 59: 7)

Manakala tokok tambah (bid’ah) yang dimaksudkan di sini adalah apa jua tokok tambah yang dikhususkan di dalam majlis walimah yang pada asalnya menurut timbangan agama tidak disyari’atkan. Aturcara walimah (majlis perkahwinan) adalah sebuah ibadah yang disyari’atkan oleh agama melalui Nabi kita Muhammad s.a.w. Di mana di dalam sebuah hadith Nabi disebutkan:

Sebenar-benar perkataan, adalah Kitabullah (al-Qur’an), sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad s.a.w, seburuk-buruk perkara adalah apa yang diada-adakan di dalam agama, setiap perkara baru yang diada-adakan di dalam agama adalah bid’ah, dan setiap bid’ah itu sesat. (Hadith Riwayat Abu Daud, no. 1097)

Begitu juga di dalam beberapa hadith yang lain, kita turut diperingatkan. Dari Irbadh bin Sariyah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Berhati-hatilah kamu terhadap perkara-perkara yang baru di dalam agama. Setiap perkara yang baru (di dalam agama) adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah sesat. (Hadith Riwayat Abu Daud, no. 4607)

Dengan lebih tepat, “Bid’\ah adalah sebuah cara baru di dalam agama yang dibuat menyerupai seakan-akan syariat dengan tujuan untuk berlebih-lebihan di dalam beribadah kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.” (Imam asy-Syatibi, di dalam al-I’tisyam. Rujuk: Yazid Abdul Qadir Jawas, Syarah ‘Aqidah Ahlus Sunnah wal Jama’ah, m/s. 78-79, Pustaka Imam asy-Syafi’i. Juga Alawy Abdul Qadir as-Saqqaf, Mukhtashar al-I’tisham, m/s. 32, Media Hidayah)

Maka dengan ini, sesuatu yang asalnya tidak dikhususkan atau tidak disyariatkan oleh agama melalui dalil-dalil yang benar di dalam walimatul urus, maka sekiranya ia berlaku dan dilakukan ini adalah termasuk ke dalam bentuk-bentuk tokok tambah terhadap agama yang jelas bertentangan dan mengajak kepada perbuatan bid’ah. Sekiranya kita menganggap dan berkeyakinan bahawa sesebuah ritual atau sesuuatu amalan yang pada asalnya tidak disyariatkan ke dalam sesebuah majlis walimah, dan sekiranya amalan tersebut tidak diadakan di dalam majlis walimah tersebut, kita mengatakan bahawa walimah tersebut tidak lagi lengkap, tidak lagi sempurna, kelihatan janggal, atau tidak berseri atau seumpamanya, maka sebenarnya kita telah menuju kepada perbuatan bid’ah. Iaitu menuju kepada perbuatan yang sebenarnya tidak pernah ditetapkan oleh syari’at, tetapi kita telah memandai-mandai sendiri menetapkannya. Ini adalah kerana, walimah adalah sebuah ibadah yang disyari’atkan oleh Allah melalui NabiNya s.a.w. Apatah lagi sekiranya, perkara yang ditambah itu adalah merupakan perbuatan-perbuatan yang mungkar dan membawa kepada larangan yang berat di sisi Allah.

Perbahasan di dalam bahagian ini akan dibawakan dengan seringkas mungkin dan padat.

1. Membuka Aurat
Perbuatan mendedahkan aurat di khalayak ramai (para hadirin) oleh wanita pada masa ini semakin banyak dilakukan di dalam majlis-majlis walimah. Malah ianya sudah menjadi satu trend (gaya) dalam kalangan umat Islam setiap kali pasangan pengantin melangsungkan majlis perkahwinan mereka. Terdapat sebagahagian wanita yang asalnya bertudung, tetapi apabila tiba hari perkahwinannya, dia dengan relanya membuka tudung dan menededahkan bahagian-bahagian aurat tertentu. Termasuk perbuatan mendedahkan aurat adalah dengan memakai pakaian yang ketat sehingga menggambarkan bentuk tubuh badan, mengenakan pakaian dengan kain yang jarang, dan mengenakan kain yang tipis.

Sedangkan Allah s.w.t berfirman: Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangan dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (aurat) kecuali kepada (mahram mereka). (Surah an-Nuur, 24: 31)

2. Bersolek dan memakai wangi-wangian bagi wanita
Dari Abu Musa al-Asy’ary r.a, dia berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Wanita yang memakai wangi-wangian, dan kemudian dia melintasi suatu kaum supaya mereka mencium bau wanginya, maka wanita tersebut adalah wanita penzina. (Hadith Riwayat Abu Daud, no. 4172, at-Tirmidzi, no. 2786)

Alasan dari larangan tersebut dapat dilihat dengan jelas iaitu menggerakkan panggilan syahwat (kaum lelaki). Sebahagian ulama telah mengaitkan perkara lain dengannya, seperti memakai pakaian yang cantik (melawa), perhiasan yang ditampakkan, dan bercampur baur dengan kaum lelaki. (Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Bari, 2/279. Rujuk: Abu Malik Kamal, Ensiklopedi Fiqh Wanita, jil. 2, m/s. 151, Pustaka Ibnu Katsir)

Allah s.w.t berfirman: …Dan janganlah kamu berhias (tabarruj) dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyyah yang dahulu. (Surah al-Ahzab, 33: 33)

3. Mencukur Kening dan Memakai Rambut Palsu
Sabda Rasulullah s.a.w: Allah melaknat orang yang membuat tatu dan wanita yang minta ditatu, wanita yang menyambung rambutnya (dengan rambut palsu), yang mencukur alis (bulu kening), dan yang minta dicukur, dan wanita yang merenggangkan giginya untuk kecantikan sehingga mengubah ciptaan Allah. (Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 4886)

4. Memanjangkan Kuku dan Mewarnakannya Dengan Pewarna
Rasulullah s.a.w bersabda: Termasuk fitrah bagi manusia itu ada lima: Khitan, mencukur bulu kemaluan, merapikan misai, memotong kuku, dan mencabut bulu ketiak. (Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 5889)

Berkenaan permasalahan trend mewarnakan kuku ini, Syaikh al-Albani rahimahullah berkata: “Ini adalah merupakan kebiasaan buruk yang dilakukan oleh wanita-wanita Eropah kepada wanita-wanita Islam, iaitu memanjangkan kuku dan mewarnakannya dengan warna merah atau selainnya dengan kuteks (pewarna/pengecat kuku). Kebiasaan ini juga turut dilakukan oleh sebahagian pemuda. Perbuatan ini selain mengubah ciptaan Allah, ia juga menjadikan pelakunya terlaknat dan perbuatan ini termasuk meniru-niru (tasyabbuh) perbuatan wanita-wanita kafir.

Daripada Ibnu ‘Umar, Nabi s.a.w bersabda: Sesiapa yang meniru-niru perbuatan suatu kaum (kebiasaan orang kafir), maka dia termasuk di dalam golongan mereka. (Hadith Riwayat Abu Daud. Sahih menurut Syaikh al-Albani di dalam Shahihul Jami’, no. 6149, juga dijelaskan di dalam Jilbab al-Mar’atil Muslimah)

5. Mencukur Janggut
Sebahagian kaum lelaki muslim pada masa ini tidak lagi berminat memelihara janggut dan membenci memelihara janggut. Malah, ada pula di antara mereka yang mencukur janggutnya semata-mata untuk nampak bergaya di majlis perkahwinannya. Sedangkan, perbuatan memelihara janggut adalah sebuah sunnah yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w, dan di dalam banyak hadith-hadithnya berkenaan janggut ia menunjukkan sebuah perintah yang perlu diikuti.

Daripada Ibnu ‘Umar r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Selisihilah kaum majusi, rapikanlah misai, dan peliharalah janggut. (Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 5893)

6. Mengkhususkan Adanya Cincin Perkahwinan
Perbuatan bertukar cincin atau menetapkan adanya cincin perkahwinan, pertunangan, atau pun pernikahan, ianya sama sekali bukan berasal daripada ajaran Islam. Ini adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Syaikh al-Albani rahimahullah: “Tindakan ini (menyarung cincin) selain meniru tradisi orang-orang kafir sehingga menjadi sebuah larangan, ia juga mengandungi pelanggaran terhadap dalil-dalil hadith yang melarang lelaki mengenakan cincin emas.” (al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 191, Media Hidayah)

Asal perbuatan (adat) menyarung cincin perkahwinan ini adalah berasal dari adat kepercayaan kuno kaum Nasrani (kristian). Ini adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Syaikh al-Albani di dalam kitabnya, Adabuz Zifaf.

Syaikh Ibnu Bazz rahimahullah (Mufti Saudi Arabia) menjelaskan: “Kami tidak mengetahui dasar amalan ini (sarung cincin) di dalam syariat.” (Muhammad al-Musnid, Fatawa Islamiyah, 3/129. Rujuk: Panduan Lengkap Nikah, Abu Hafsh Usamah, m/s. 230, Pustaka Ibnu Katsir)

7. Adat Bersanding dan Pelamin
Perbuatan mengadakan pelamin dan adat bersanding bukanlah sebuah amalan yang berasal dari ajaran Islam. Malah, ia mungkin ditiru dan berasal dari ajaran Hindu atau pun Kristian. Ini adalah kerana amalan tersebut sangat mirip dengan adat upacara perkahwinan mereka.

Menurut Syaikh Abdullah bin ‘Abdurrahman al-Jibrin hafizahullah: “Perbuatan ini (bersanding) adalah tidak dibenarkan. Sebab ini adalah bukti atas tercabutnya rasa malu dan taqlid (mengikuti) kepada kaum yang suka kepada keburukan. Perkaranya adalah jelas. Pengantin wanita sepatutnya merasa malu menampakkan diri di hadapan manusia, lalu bagaimana dengan perbuatan tersebut yang sengaja dilakukan di hadapan orang-orang yang sengaja menyaksikannya?” (Muhammad al-Musnid, Fatawa Islamiyah, 3/188. Rujuk: Panduan Lengkap Nikah, Abu Hafsh Usamah, m/s. 230, Pustaka Ibnu Katsir)

Syaikh Ibnu ‘Utsaimin rahimahullah berkata: “Di antara perkara mungkar, bahawa rasa malu sebahagian manusia telah tercabut dari mereka. (Adalah) seorang suami datang di tengah kaum wanita dan naik pelamin bersama isterinya di hadapan kaum wanita, iaitu pada awal pertemuannya dengan isterinya untuk bersanding dengannya, bersalaman tangan dengannya, mungkin menciumnya, dan mungkin memberikan hadiah kepadanya berserta coklat dan selainnya yang dapat menggerakkan syahwat dan mengakibatkan fitnah.” (Min Munkaratil Afraah, m/s. 7, 10. Rujuk: Panduan Lengkap Nikah, Abu Hafsh Usamah, m/s. 231, Pustaka Ibnu Katsir)

8. Menabur Gula-gula, Coklat, dan Bunga
Perbuatan ini tidak terdapat di dalam syariat atau pun majlis walimah sebagaimana yang disunnahkan oleh Rasulullah s.a.w. Ada pun sebenarnya, perbuatan ini termasuk meniru-niru perbuatan kaum kafir yang diambil dari perbuatan kaum kristian yang menabur bunga di acara-acara perkahwinan mereka.

Daripada Ibnu ‘Umar, Nabi s.a.w bersabda: “Sesiapa yang meniru-niru perbuatan suatu kaum (kebiasaan orang kafir), maka dia termasuk di dalam golongan mereka.” (Hadith Riwayat Abu Daud. Sahih menurut Syaikh al-Albani di dalam Shahihul Jami’, no. 6149, juga di dalam Jilbab al-Mar’atil Muslimah)

Imam Ibnu Katsir menjelaskan di bawah penafsiran Surah al-Baqarah, [2:104]: “Allah Ta’ala melarang hamba-hamba-Nya yang beriman menyerupai (syi’ar) orang-orang kafir, sama ada dalam ucapan mahu pun perbuatan mereka.” (Ibnu Katsir, Shahih Tafsir Ibnu Katsir (Judul asal: al-Mishbaahul Muniir fii Tahdziibi Tafsiiri Ibni Katsir, Selenggaraan Syaikh Syafiurrahman al-Mubarakfuri), jil. 1, m/s. 364, Pustaka Ibnu Katsir)

Sekiranya amalan tersebut disandarkan kepada agama, maka perbuatan tersebut termasuk meletakkan perbuatan yang tiada asalnya di dalam agama, maka ia adalah bid’ah lagi sesat. Ini adalah kerana walimatul urus adalah sebuah aturcara agama sebagaimana yang diperintahkan (ditekankan) berdasarkan sunnah yang jelas.

Dari ‘Aisyah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang mengada-adakan sesuatu yang baru di dalam agama kami ini, maka ianya tertolak. (Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 2697)

Dari Irbadh bin Sariyah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Berhati-hatilah kamu terhadap perkara-perkara yang baru di dalam agama. Setiap perkara yang baru (di dalam agama) adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah sesat. (Hadith Riwayat Abu Daud, no. 4607)

9. Adat Merenjis Air Mawar
Adat ini juga bukan berasal dari Islam. Mungkin ia diambil dari amalan masyarakat Hindu. Selain merupakan perbuatan yang ditokok tambah (bid’ah) di dalam walimatul urus, malah ianya juga boleh menjurus kepada perbuatan syirik sekiranya dengan perbuatan merenjis tersebut disertakan dengan i’tiqad (keyakinan-keyakinan) tertentu seperti mempercayai pasangan pengantin yang direnjis akan mendapat kebahagiaan dan seumpamanya.

10. Mewajibkan Adanya Duit dan Barang Hantaran
Adat ini ditetapkan oleh kebanyakan masyarakat Melayu secara umumnya iaitu dengan mewajibkan pihak lelaki (atau bakal/calon suami) supaya membayar sejumlah wang yang dinamakan sebagai wang hantaran kepada keluarga pihak perempuan. Kebiasaannya (pada masa ini) sehingga RM10,000 atau lebih dari itu bergantung kepada status pendidikan atau pun permintaan wanita yang hendak dinikahi. Nilai wang hantaran ini akan ditetapkan oleh sama ada bakal isteri atau pihak keluarga bakal isteri. Sekali imbas, perbuatan ini adalah seakan-akan sebuah perbuatan jual beli wanita. Dan wang ini akan diserahkan kepada keluarga si isteri.

Dan kemudiannya, kedua-dua pihak akan saling bertukar barang hantaran tertentu sesama mereka. Di mana mereka mengkhususkan dengan jumlah bilangan tertentu, seperti 5 dulang dari lelaki berbalas 7 dulang barangan tertentu dari pihak perempuan, atau 7 dulang dari pihak lelaki berbalas 9 dulang dari pihak perempuan, atau 9 dulang dari pihak lelaki berbalas 11 dulang dari pihak perempuan, dan seterusnya.

Ada pun sebenarnya perbuatan ini langsung tidak pernah ditetapkan oleh Islam, dan perbuatan ini merupakan perbuatan bid’ah iaitu amalan yang ditokok tambah ke dalam majlis walimah umat Islam. Adalah menjadi suatu yang sunnah di dalam agama supaya memudahkan urusan pernikahan (juga urusan yang lain), tetapi, dengan ditambahnya amalan-amalan seperti ini, ia hanya akan menyusahkan (memberatkan) pasangan yang hendak berkahwin dan ia sekaligus menggalakkan maksiat sekiranya perkahwinan ditangguhkan hanya semata-mata disebabkan perkara yang karut ini.

Dari Irbadh bin Sariyah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Berhati-hatilah kamu terhadap perkara-perkara yang baru di dalam agama. Setiap perkara yang baru (di dalam agama) adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah sesat. (Hadith Riwayat Abu Daud, no. 4607)

Namun, apa yang diwajibkan atau pun disunnahkan di dalam syariat hanyalah memberikan mahar (mas kahwin) oleh lelaki kepada wanita yang dinikahi, sama ada berdasarkan apa yang diminta oleh wanita tersebut atau pun tanpa diminta. Dan mas kahwin ini tidaklah semestinya di dalam bentuk wang ringgit atau barang-barang tertentu. Ianya sama ada tertakluk berdasarkan apa yang diminta oleh wanita, atau pun bebas dengan apa yang hendak diberikan oleh si lelaki jika si wanita tidak menetapkannya. Dan mahar adalah merupakan salah satu rukun dan syarat sahnya nikah.

Allah s.w.t berfirman:
Berikanlah maskahwin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan… (Surah an-Nisaa’, 4: 4)

“… Maka isteri-isteri yang telah kamu nikmati (campuri) di antara mereka, berikanlah kepada mereka maharnya (dengan sempurna), sebagai suatu kewajiban… (Surah an-Nisaa’, 4: 24)

Dan mahar yang paling baik adalah mahar yang paling mudah, ringan atau tidak mahal (tidak menyusahkan dan memberatkan si suami). Daripada ‘Uqbah bin ‘Amir r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Pernikahan yang paling besar keberkahannya adalah yang paling mudah maharnya.(Hadith Riwayat Ahmad, no. 24595)

Perbuatan meninggikan atau memahalkan penetapan nilai mahar adalah satu perbuatan yang dibenci oleh agama sebagaimana disebutkan di dalam beberapa hadith. Umar al-Khaththab r.a berkata: Ingatlah, janganlah meninggikan nilai mahar wanita. Jika itu merupakan kemuliaan di dunia atau taqwa di sisi Allah, sudah tentu yang paling utama melakukannya adalah Rasulullah s.a.w. (Hadith Riwayat Abu Daud, no. 2106) (Rujuk: Amru Abdul Mun’im Salim, Panduan Lengkap Nikah, m/s. 76, Dar an-Naba’)

Sahih di dalam beberapa riwayat bahawa Rasulullah dan beberapa sahabat berkahwin dengan mengeluarkan mahar yang sangat kecil. Malah di sebahagian keadaan, ada yang memberikan mahar dalam bentuk cincin besi, baju besi, memerdekakan hamba, dengan hafazan Al-Qur’an, dengan mengajarkan surah-surah tertentu dari Al-Qur’an, dengan segenggam kurma, dengan mengislamkan seseorang, dengan sebiji emas sebesar biji kurma, dan selainnya. Wallahualam.

:: Kewajipan Berwasiat Dan Bertaubat Sebelum Tidur ::

Imam Ghazali menyatakan ; bahawa doa kebanyakan para nabi a.s, ialah berdoa seperti berikut (yang bermaksud) :

“ Ya Allah Tuhanku, aku minta ampun kepada-Mu daripada sebarang dosa yang telah aku bertaubat, tetapi setelah itu aku melakukannya kembali. Aku minta ampun daripada semua yang telah aku janji dalam hati kepada-Mu tetapi tidak aku laksanakan”.

“Aku bertaubat daripada dosa waktu aku ibadat untuk-Mu, tetapi tiba – tiba mencelah sesuatu menyebabkan ibadah berubah kepada  kerana yang lain daripada-Mu”.

“Aku memohon ampun kepada-Mu kerana nikmat yang engkau kurniakan itu sepatutnya untuk mentaati-Mu, sebaliknya telah aku gunakannya untuk ingkar suruhan-Mu”.

“Wahai Tuhan yang Maha Mengatahui sama ada yang zahir atau yang terselindung, aku minta ampun daripada sebarang dosa yang aku lakukan pada siang hari atau pada malam gelap di tempat tersembunyi, ketika beramai atau ketika seorang diri, ampunilah daku wahai Tuhan yang Maha Lemah Lembut”.

Demikianlah doa dan istigfar para nabi semenjak daripada Nabi Adam hingga ke Nabi akhir zaman, telah dinukilkan oleh Imam Ghazali yang dimuatkan dalam kitabnya. Untuk mendapat perhatian dan menjadi amalan umat akhir zaman, yang persoalannya sangat penting dan bernilai tinggi.

Kini akan membincangkan mengenai adab tidur. Meskipun tidur itu sebagai perkara tabi’i  kebiasaan bagi manusia, sebagaimana makan minum dan naluri lain seumpamanya.

Semua tuntutan naluri tabi’i dan segala gerak geri itu, boleh dijadikan sumber pahala untuk bekalan akhirat.

Tidur merupakan kesinambungan daripada sifat mengantuk. Sesungguhnya sifat mengantuk itu bukan sesuatu yang dicari atau diusahakan, tetapi ia terjadi setelah tubuh letih akibat aktiviti kerja sepanjang hari.

Islam mengajar manusia sama ada perkar yang diikhtiar atau tidak jika seseorang itu tahu, ia akan menjadi bekalan hidup diakhirat.

Tidur setelah didahului rasa mengantuk kurniaan Tuhan, akan menjadikan tubuh berehat dan cergas semula. Di Akhirat ada habuan bagi manusia itu.

Justeru Islam mengajar peraturan dan adab tidur, supaya tidur menjadi sesuatu ibadah yang berfaedah kepada manusia di dunia dan akhirat.

Peraturan dan adab pertama, ialah bersihkan mulut dengn bersugi (gosok gigi) dan bersucu serta berwuduk.

Islam bukan sahaja menyuruh berwuduk ketika hendak menunaikan solat atau membaca Al – Quran sahaja, bahkan Islam anjurkan berwuduk itu mengajar manusia agar tidur dalam keadaan beribadat kepada Allah SWT.

Seseorang yang berwuduk andainya meninggal dunia semasa tidur, maka matinya dalam keadaan suci bersih. Tiada yang boleh beri jaminan bahawa selepas tidur die akan bernafas semula untuk meneruskan hidupnya.

Oleh itu apabila seseorang hendak tidur dia hendaklah bersiap, kerana dia sendiri pun tidak tahu masih adakah baki umurnya selepas tidur.

Setelah bersugi dan berwuduk mereka dikehendaki bersiap menyediakan air ( khusus untuk tempat yang sukar mendapat air ) untuk bersugi dan berwuduk selepas bangun pagi esoknya.

Jika dia dikurniakan umur lagi, persiapan itu untuk mengulangi keperlauan bersugi dan berwuduk sebagai sunnah Nabi SAW.

Sebelum meletakkan kepala atas bantal untuk tidur, hendaklah dia menaruh azam dalam hati dengan niat  untuk bangun menunaikan ibadah solat tahajud dan witir juga ibadah selainnya.

Kalau tidur berniat begini akan dipermudahkan oleh Allah SWT untuk bangun dihujung malam. Kerana tidur dengan hasrat  untuk melakukan ibadah  sebagaimana kelazimannya, tidurnya tidaklah tidur mati tetapi sentiasa beringat – ingat akan niatnya.

Adab tidur yang seterusnya ialah bagi mereka yang sepatutnya ada wasiat lantaran berhutang, maka kewajipan mereka ialah menyediakan surat wasiat.

Kewajipan orang berhutang ialah berwasiat kepada keluarganya, supaya tanggungjawab itu dipikul keluarganya jika dia meninggal dunia.

Jika orang yang berhutang itu meninggal dunia menyebabkan rohnya terseksa, tidak dapat ke mana – mana dan tidak dapat menikmati fadhilat syahid. Hutang yang belum dilunaskan jadi penghalang menikmati segala fadilat itu.

Orang yang mempunyai keyakinan tentang bahaya hutang yang belum dijelaskan, wajib baginya berwasiat kerana seseorang itu tidak selamat daripada diambil nyawanya oleh Tuhan semasa tidur.

Hendaklah sedar bahawa seseorang ketika tidur mempunyai peluang lebih luas untuk mati , berbanding peluang untuk terus hidup.

Ini kerana apabila seseorang tidur rohnya akan beredar meninggalkan jasad, meskipun jantung dan nadi bergerak darah terus mangalir dan nafas keluar masuk.

Hal tersebut terserah sepenuhnya kepada Allah SWT. Justeru itu dalam keadaan tidak sedar kerana roh naik keatas seperti benar – benar telah mati.

Adab seterusnya apabila bersiap untuk tidur, seseorang itu bertaubat daripada semua dosa, dan tidur dalam keadaan hati suci bersih dengan semua orang islam. Tiada hasrat di hati hendak menganiaya orang apabila terjaga esok.

Dengan adab itu dunia akan aman daripada segala kemungkaran dan penyelewengan juga keburukan. Jika seseorang tidak menghormati janji sendiri yang dibuat sebelum tidur, lalu bagaimanakah orang lain akan menghormati dirinya.