Wednesday 30 January 2013

(^_^)Allah Tambah Nikmat Jika Bersyukur (^_^)

Sedar atau tidak, hidup manusia di alam fana ini tidak akan terlepas daripada menerima nikmat dan rahmat Allah.

Nikmat yang dikurniakan Allah kepada manusia adalah tidak terhitung banyaknya. Jumlahnya tidak dapat disukat dan ditimbang. Ini jelas dinyatakan Allah dalam firman-Nya bermaksud:-

"Dan sekiranya kamu menghitung nikmat Allah, nescaya tidak dapat menghitungnya. Sesungguhnya Tuhan itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang." -
(Surah an-Nahl, ayat 18)

Meneliti kejadian dan kurniaan anggota badan utama pada tubuh manusia seperti kaki, tangan, perut, mulut, telinga, hidung dan mata, sudah cukup bagi kita membuat kesimpulan betapa berkuasa, agung dan murahnya Allah serta betapa lemah dan tidak berdayanya manusia yang menghuni alam fana ini.

Anggota badan itu pula dijadikan Allah dengan rapi dan lengkap serta dapat bergerak dan berfungsi serentak pada waktu sama. Sambil melihat, kita dapat bercakap, mendengar, menghidu, berjalan dan sebagainya.

Imam Al Ghazali mendefinasikan nikmat itu sebagai: setiap kebaikan, kelazatan dan kebahagiaan serta setiap kebahagiaan hidup 'ukhrawi' - 'hari akhirat yang kekal abadi.'

Secara umumnya, nikmat kurniaan Allah kepada setiap orang manusia dapat dibahagikan kepada dua iaitu:

1) Nikmat bersifat 'fitri' atau asasi iaitu nikmat yang dibawa oleh manusia ketika dilahirkan lagi.

2) Nikmat mendatang iaitu nikmat yang diterima dan dirasakan dari masa ke semasa.

Nikmat bersifat fitri atau asasi itu digambarkan oleh Allah dalam firman-Nya bermaksud:

"Dan Tuhan melahirkan kamu dari perut ibumu tanpa mengetahui apa-apa pun. Dan (kemudian) diberinya kamu pendengaran, penglihatan dan hati supaya kamu bersyukur - berterima kasih." - (Surah an-Nahl, ayat 78)

Sesungguhnya manusia ini dilahirkan ke dunia dalam keadaan bertelanjang bulat. Tetapi dilengkapi dengan alat yang diperlukan dalam perjuangan hidup ini.

Dalam ayat di atas, yang dimaksudkan dengan kelengkapan itu ialah telinga, mata dan hati (akal).

Ada pun nikmat yang kedua iaitu nikmat yang dianggap mendatang itu ialah segala kenikmatan, kelazatan, kebahagiaan dan sebagainya yang diterima oleh manusia dalam perjalanan hidupnya.

Segala sesuatu yang ada dalam alam ini, bermula daripada tanam tanaman sampailah kepada binatang ternakan dan barang logam, semuanya diperuntukkan supaya dapat dimanfaatkan oleh manusia.

Keadaan dan kenyataan ini dijelaskan oleh Allah dengan firman-Nya yang bermaksud:

"Dan sebagai tanda untuk mereka ialah bumi yang mati (kering), Kami hidupkan dan Kami keluarkan dari dalamnya buah tanam-tanaman sebahagiannya mereka makan. Dan Kami adakan padanya kebun kurma dan anggur.

"Dan Kami pancarkan padanya beberapa mata air supaya mereka dapat makan buahnya. Semua itu bukanlah (hanya) usaha tangan mereka. Mengapa mereka tidak bersyukur." - (Surah Yasin, ayat 31 hingga 35)

Lumrahnya, seseorang manusia itu hanya akan menyedari nikmat yang dikurniakan Allah kepadanya apabila nikmat itu hilang atau terlepas daripadanya (dicabut oleh Tuhan kembali).

Andai kata matanya rosak sebelah, kakinya patah, kakinya kudung atau seumpama itu berlaku ke atas dirinya, maka ketika itu barulah berasa sungguh-sungguh bagaimana nikmatnya mempunyai dua biji mata, mempunyai kaki dan tangan tidak cacat.

Sesungguhnya nikmat kesihatan betul-betul dirasai apabila kita sakit.

Seorang yang berkuasa atau berpangkat akan berasa nikmat memegang kuasa dan pangkat selepas jatuh atau dipecat daripada kekuasaan serta jawatan yang disandangnya hilang.

Seorang hartawan apabila jatuh miskin dan melarat, maka akan rasa bersalah olehnya bagaimana besarnya nikmat kekayaan yang pernah dikecapinya itu.

Oleh itu peliharalah setiap nikmat diperolehi. Bersyukur dan berterima kasihlah kepada Allah Yang Maha Kuasa supaya nikmat itu akan terus dikekalkan-Nya.

Syukur dapat diertikan sebagai: Mengerti bahawa semua nikmat yang ada pada diri seseorang hamba, baik yang lahir mahu pun yang batin, semuanya daripada Allah sebagai pemberian daripada-Nya.

Tanda seseorang itu bersyukur ialah apabila gembira wujudnya nikmat pada dirinya, yang melorongkan jalan untuk beramal ibadat dan mendekatkan diri kepada-Nya.

Orang yang bersyukur kepada Allah akan memperbanyakkan ucapan syukur dan terima kasih kepada-Nya. Mereka akan mengerjakan ketaatan kepada Allah dan akan membesarkan nikmat sekalipun nikmat itu kecil saja.

Sesungguhnya bersyukur kepada Allah adalah perbuatan wajib ke atas setiap manusia. Ini jelas daripada firman-Nya bermaksud:-

"Syukurlah terhadap nikmat Allah jika kamu sungguh-sungguh menyembah kepada Nya." - (Surah an-Nahl, ayat 144)

Lawan syukur ialah kufur. Seseorang yang menggunakan nikmat ini pada tempat bertentangan dengan tujuan penciptaannya, maka sebenarnya mengkufuri nikmat Allah yang menganugerahkan nikmat itu kepadanya.

Seseorang yang memukul orang lain dengan tangannya, maka orang itu dikira mengkufuri nikmat, sebab tangan yang dijadikan Allah untuk mempertahankan diri daripada perkara yang mengancamnya bukan mencedera atau membinasakan orang lain.

Seseorang itu dianggap tidak menggunakan nikmat matanya kerana mengkufuri nikmat mata apabila menggunakannya untuk melihat wajah perempuan yang bukan muhrimnya.

Mata dijadikan Allah untuk melihat perkara mendatangkan kebaikan bagi agama dan dunia.

Sebab itu mata hendaklah dipelihara daripada melihat perkara yang mendatangkan bahaya dan mudarat.

Sikap syukur pula untuk keuntungan manusia sendiri. Tuhan tidak mendapat apa-apa keuntungan dengan perbuatan syukur yang dilakukan oleh hamba-Nya. Sebaliknya, Tuhan juga tidak akan rugi dengan sikap kufur dan engkar yang ditunjukkan oleh manusia.

Perkara ini dijelaskan oleh Allah melalui firman-Nya yang bermaksud:

"Barang siapa yang bersyukur maka hal itu untuk (kebaikan) dirinya sendiri. Dan barang siapa yang ingkar maka sesungguhnya Tuhan itu Maha Kaya dan Maha Mulia." - (Surah al-Naml, ayat 40)

Orang yang bersyukur jiwanya akan menjadi semakin bersih. Dia akan bertambah dekat kepada Tuhan dan semakin sedar bahawa nikmat itu adalah kurniaan Illahi yang perlu dipergunakan untuk kebaikan sesama manusia.

Seseorang yang memperolehi kekayaan, maka kekayaan itu hendaklah digunakan pula untuk keperluan kebaikan seperti membantu fakir miskin, menolong orang yang memerlukan dan sebagainya.

Orang berpangkat dan berkuasa hendaklah melakukan kebaikan terhadap orang di bawah atau rakyat jelata.

Sesungguhnya bagi orang bersyukur maka nikmat yang diperolehinya semakin bertambah. Ini jelas dinyatakan Allah dengan firman-Nya yang bermaksud:

"Jika kamu bersyukur maka Aku (Tuhan) akan menambah (nikmat) itu kepada kamu. Dan jika kamu engkar maka sesungguhnya seksa Aku amat pedih." - (Surah Ibrahim, ayat 7)

Sedar akan pentingnya sikap ini, maka syukurilah nikmat kurniaan Allah kepada kita baik nikmat lahir atau batin.
Mudah-mudahan dengan berbuat demikian, maka nikmat itu akan kekal berterusan bersama kita dan hidup kita pula akan mendapat keredaan Allah baik di dunia atau akhirat

Tuesday 29 January 2013

#Tanda2 Akhir Kematian dan Kaitan dengan Waktu Asar#


"Bahawa malaikat maut memerhati wajah setiap manusia di muka bumi ini 70  kali dalam sehari.Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati  orang itu ada yang sedang gelak ketawa. Maka berkata Malaikat Maut : Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah Taala untuk  mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok bergelak ketawa."
Sabda Nabi Muhammad S.A.W



100 Hari Tanda Sebelum Kematian
Tanda ini berlaku selepas asar.Seluruh tubuh iaitu bermula dari hujung rambut hingga ke hujung kaki menggeletar atau menggigil.

Contohnya seperti daging lembu yang baru disembelih dimana jika diperhatikan dengan teliti kita akan mendapati daging tersebut seakan-akan bergetar. Tanda ini rasanya lazat dan bagi mereka sedar dan berdetik di hati bahawa mungkin ini adalah tanda mati maka getaran ini akan berhenti dan hilang setelah kita sedar akan kehadiran tanda ini.

Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian , tanda ini akan lenyap begitu sahaja tanpa sebarang munafaat.

Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda ini maka ini adalah peluang terbaik untuk memunafaatkan masa yang ada untuk mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau ditinggalkan sesudah mati. 

40 Hari Tanda Sebelum Kematian 
Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arash Allah SWT.

Maka malaikatmaut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita antaranya ialah ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa. 



Akan terjadi malaikatmaut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika.

Adapun malaikatmaut ini wujudnya cuma seorang tetapi kuasanya untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya. 

7 Hari Tanda Sebelum Kematian
Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba-tiba ianya berselera untuk makan.

3 Hari Tanda Sebelum Kematian
 Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita iaitu diantara dahi kanan dan kiri.

Jika tanda ini dapat dikesan maka berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti.

Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi.

Telinganya akan layu dimana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masukke dalam.

Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.


1 Hari Tanda Sebelum Kematian
Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu denyutan di sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun di mana ini menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya.

 Nazak atau Tanda Akhir
 Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum.

Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikatmaut untuk menjemput kita kembali kepada Allah SWT yang telah menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula.

  
*Meskipun tiada dalil dan hadis yang sah mengenai tanda-tanda kematian ini dan hanya berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Imam Al-Ghazali dimana beliau menyedari akan hal ini dan Beliau menyediakan dirinya dengan segala persiapan termasuk mandinya, wuduknya serta kafannya sekali cuma ketika sampai bahagian tubuh dan kepala sahaja beliau telah memanggil abangnya iaitu Imam Ahmad Ibnu Hambal untuk menyambung tugas tersebut. Beliau wafat ketika Imam Ahmad bersedia untuk mengkafankan bahagian mukanya.

Waktu Asar?
Apa yang membuatkan aku terfikir dan ingin mengkaji adalah kenapa semua tanda ini berlaku pada waktu asar? Mengapa bukan pada waktu yang lain subuh, zohor, maghrib mahupun isyak.

Ya! Wallahuallam, memang hanya Allah yang tahu tetapi kita dikurniakan akal dan pancaindera untuk menkajinya.Jadi berpandukan google dan search engine lain aku cuba mencari maklumat dan kaitkan mengapa waktu asar?


Kebaikan Solat Waktu Asar
Aku cuba menafsir melalui kebaikkan waktu asar, dimana kelebihan solat pada waktu asar.Mengaitkan pada waktu ini terdapat frekuensi warna oren yang melambangkan kreativiti.Orang yang tertinggal waktu asar dikatakan akan hilang daya kreativitinya dan sebab itulah jika kita tidur (jasad terpisah dari ruh) kita berkemungkinan kurang daya kreativiti atau mungkin kurang waras a.k.a gila


Namun melalui pandangan aku ini mungkin agak jauh dari situasi kematian dan aku terus mencari sehinggalah terjumpa...



 "wal asri" (demi masa, waktu asar)-surah al-asr ayat 1

Sebagaimana yang diketahui setiap hari dalam kalendar islam waktu pertama bukan pukul 12:00 a.m tetapi pada waktu maghrib.Waktu asar adalah penghujung hari dan penutup segala catitan pada waktu tersebut.

Sebagaimana yang diceritakan didalam surah tersebut mengapa 'asr' disebut adalah sebagai peringatan bahawa cahaya alam akan dicabut dan malam akan menjelma oleh itu sentiasalah beringat akan kematian dan hari pembalasan kerana masa kian suntuk.

Mungkin ini hanya tafsiran seorang yang amat cetek dalam agama dan mungkin ada yang lebih megetahui akan hal ini jadi cuba kongsikan kerana yang baik itu datangnya dari Allah dan yang lemah adalah dari diri aku sendiri

Wallahuallam...



assalamualaikum....  

Saturday 26 January 2013

Janji Allah Untuk Mereka Yang Ingin Berkahwin


Apabila seorang muslim baik lelaki atau wanita akan berkahwin, biasanya akan timbul pelbagai perasaan akan timbul. Ada rasa gundah, resah, risau, bimbang, termasuk juga tidak sabar menunggu datangnya si pendamping. Bahkan ketika dalam proses taaruf sekalipun masih ada juga perasaan keraguan.
.
Inilah khabar gembira berupa janji Allah bagi orang yang akan berkahwin. Bergembiralah wahai saudaraku…

1. “Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki yang keji, dan lelaki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula),dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)”. (An Nuur : 26)
Bila ingin mendapatkan jodoh yang baik, maka perbaikilah diri. Hiduplah sesuai dengan ajaran Islam dan Sunnah Nabi-Nya. Jadilah lelaki yang soleh, jadilah wanita yang solehah. Semoga Allah memberikan hanya yang baik buat kita. Amin.
.
2. “Dan kawinkanlah orang-orang yang sendirian diantara kamu dan orang-orang yang layak (berkawin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurniaNya. Dan Allah Maha Luas (Pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui”.(An Nuur: 32)
Sebahagian para pemuda ada yang merasa bingung dan bimbang untuk berkahwin. Salah satu sebabnya adalah kerana belum mempunyai pekerjaan. Dan yang telah mempunyai pekerjaan pun tetap ada perasaan bimbang juga. Sebahagian mereka tetap ragu nilai  gajinya. Dalam fikiran mereka, “apakah gaji ini cukup untuk berkeluarga dengan gaji sekian?”.
Ayat tersebut merupakan jawapan buat mereka yang ragu untuk melangkah ke jinjang pernikahan kerana alasan ekonomi. Yang perlu ditekankan kepada para pemuda dalam masalah ini adalah kesanggupan untuk memberi nafkah, dan terus bekerja mencari nafkah memenuhi keperluan keluarga.
Allah akan menolong mereka yang menikah. Allah Maha Adil, apabila tanggungjawab para pemuda bertambah – dengan kewajipan memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya, maka Allah akan memberikan rezeki yang lebih. Tidakkah kita lihat kenyataannya di masyarakat, banyak mereka yang semula miskin tidak mempunyai apa-apa ketika berkahwin, kemudian Allah memberinya rezeki yang berlimpah dan mencukupkan keperluannya?
.
3. “Ada tiga golongan manusia yang berhak Allah tolong mereka, iaitu seorang mujahid fi sabilillah, seorang hamba yang menebus dirinya supaya merdeka dan seorang yang menikah kerana ingin memelihara kehormatannya”. (HR. Ahmad 2: 251, Nasaiy, Tirmidzi, Ibnu Majah hadits no. 2518, dan Hakim 2: 160)
Bagi siapa sahaja yang berkahwin dengan niat menjaga kesucian dirinya, maka berhak mendapatkan pertolongan dari Allah berdasarkan penegasan Rasulullah  dalam hadits ini. Dan pertolongan Allah itu pasti datang.
.
4. “Dan diantara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir”. (Ar Ruum : 21)
.
5. “Dan Tuhanmu berfirman : ‘Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina’ “. (Al Mu’min : 60)
Ini juga janji Allah ‘Azza wa Jalla, bila kita berdoa kepada Allah nescaya akan diperkenankan-Nya. Termasuk di dalamnya ketika kita berdoa memohon diberikan pendamping hidup yang agamanya baik, cantik, taat, dan sebagainya.
Dalam berdoa, perhatikan adab dan sebab terkabulnya doa. Diantaranya adalah ikhlas, bersungguh-sungguh, merendahkan diri, menghadap kiblat, mengangkat kedua tangan, dan lain – lain.
Perhatikan juga waktu-waktu yang mustajab dalam berdoa. Diantaranya adalah berdoa pada waktu sepertiga malam yang terakhir dimana Allah ‘Azza wa Jalla turun ke langit dunia, dan pada waktu antara azan dan iqamah,
Perhatikan juga penghalang terkabulnya doa. Diantaranya adalah makan dan minum dari sumber yang haram, dan berpakaian dari usaha yang haram serta melakukan apa yang diharamkan Allah,
Manfaat lain dari berdoa bererti kita meyakini keberadaan Allah, mengakui bahawa Allah itu tempat meminta, mengakui bahawa Allah Maha Kaya, dan mengakui bahawa Allah Maha Mendengar.
Sebahagian orangapabila jodohnya tidak kunjung datang maka mereka pergi ke dukun-dukun berharap agar jodohnya lancar. Cara seperti ini jelas dilarang oleh Islam. Perhatikan hadis-hadis berikut yang merupakan peringatan keras dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam:
“Barang siapa yang mendatangi peramal / dukun, lalu dia menanyakan sesuatu kepadanya, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh malam”. (Hadis sahih riwayat Muslim (7/37) dan Ahmad).
Telah bersabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam, “Maka janganlah kamu mendatangi dukun-dukun itu.” (Sahih riwayat Muslim juz 7 hal. 35).
Telah bersabda Nabi SAW, “Sesungguhnya jampi-jampi (mantera) dan  guna-guna itu adalah (hukumnya) syirik.” (Hadis sahih riwayat Abu Dawud (no. 3883), Ibnu Majah (no. 3530), Ahmad dan Hakim).
.
6. Mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat“. (Al Baqarah : 153)
Mintalah tolong kepada Allah dengan sabar dan solat. Agar datang pertolongan Allah, maka kita juga harus bersabar sesuai dengan Sunnah Nabi dan terbebas dari bid’ah-bid’ah.
.
7. “Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan”. (Alam Nasyrah : 5 – 6)
Ini juga janji Allah. Mungkin terasa bagi kita jodoh yang dinanti tidak kunjung datang. Segalanya terasa sulit. Tetapi kita harus tetap berbaik sangka kepada Allah dan yakinlah bahawa sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Allah sendiri yang menegaskan dua kali dalam Surat Alam Nasyrah.
.
8. “Hai orang-orang yang beriman jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu”. (Muhammad : 7)
Agar Allah  menolong kita, maka kita tolong agama Allah. Baik dengan berinfak di jalan-Nya, membantu penyebaran dakwah Islam dengan penyebaran buletin atau buku-buku Islam, membantu penyelenggaraan pengajian, dan sebagainya. Dengan itu semoga Allah menolong kita.
.
9. “Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa”. (Al Hajj : 40)
.
10. “Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat”. (Al Baqarah : 214)
Itulah janji Allah. Dan Allah tidak akan menyalahi janjinya. Kalaupun Allah tidak / belum mengabulkan doa kita, tentu ada hikmah dan kasih sayang Allah yang lebih besar buat kita. Kita harus berbaik sangka kepada Allah. Inilah keyakinan yang harus ada pada setiap muslim..

Saturday 19 January 2013

#@#*(Salam Maulidur Rasul 1434H)*#@#

Assalamualaikum....

Hari kelahiran Rasulullah semakin dekat. Seperti biasa kita umat Islam seluruh dunia dengan rasa syukur dan gembira menyambutnya. Maulidur Rasul tahun 2013 membawa temaWasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah. Mesti ramai yang nak tahu, apakah maksudwasatiyyah? Merujuk kepada kamus arab wasatiyyah adalah daripada perkataan al-Wasat(الوسط) yang diterjemahkan dari segi bahasa dengan makna pertengahan. Seterusnya diistilahkan dari segi Islam dengan maksud adil, sederhana dan terbaik.



Maka tafsiran Wasatiyyah yang tepat hendaklah mengikut hakikat kerasulan dan ajaran Islam seluruhnya. Ia adalah daripada petunjuk al- Quran supaya umat Islam menjadi umat yang adil dan pilihan dengan beriman, beramal dan berakhlak dengan Islam, sehingga menjadi contoh kepada umat manusia seluruhnya. Mereka juga layak menjadi saksi atas perbuatan orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dan menentang para Rasul, apabila semuanya menghadapi pembicaraan dalam mahkamah di akhirat.

Hakikat umat Islam yang menjadi contoh ditengah masyarakat manusia itu dijelaskan oleh ayat-ayat al-Quran yang lain bagi memenuhi ciri Ummah Wasatan yang layak menjadi contoh kepada seluruh umat manusia dan saksi pada hari kiamat, antaranya firman Allah (maksudnya):


Kamu adalah umat yang terbaik yang dikeluarkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah.(Surah Ali Imran: 110)
Bersempena sambutan Maulidur Rasul yang diadakan saban tahun  menuntut kita sama-sama menghayati dan mencontohi ketabahan serta kesungguhan baginda dan para sahabat dalam menegakkan syiar Islam sehingga terpancar kecemerlangan dan kegemilangan Islam merentasi dunia timur dan barat. Selain itu, nabi Muhammad juga amat dikenali sebagai seorang yang suka menghubungkan silaturrahim, menolong orang yang dalam kesusahan, membantu  anak yatim dan ibu tunggal, seorang yang pemurah dan sebagainya. Masyarakat Arab  Quraisy  amat senang dengan keperibadian yang dimiliki oleh nabi Muhammad, baginda pernah hidup bersama-sama masyarakat Quraisy, pernah bersama-sama membangunkan semula Kaabah yang runtuh akibat banjir. Baginda  dikenali di kalangan masyarakat Arab sebagai seorang yang baik  budi pekertinya, seorang yang amanah sehingga digelar al-amin. 
Tetapi mengapa tiba-tiba nabi Muhammad menjadi orang yang paling mereka benci? Apakah orang Quraisy tidak kenal siapa baginda sehingga mereka ingin membunuhnya?  Mereka benar-benar telah merancang untuk membunuh nabi Muhammad dengan berbagai-bagai perancangan jahat, namun baginda diselamatkan oleh Allah. Allah merakamkan perancangan jahat orang musyrikin untuk membunuh nabi Muhammad S.A.W akan tetapi Allah telah menggagalkan perancangan mereka. Firman Allah dalam surat al-Anfal ayat 30:

"Ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang kafir musyrik ( Mekah )  menjalankan perancangan jahat terhadapmu untuk menjarakkanmu atau membunuhmu atau mengusirmu. Mereka menjalankan perancangan jahat dan Allah menggagalkan perancangan jahat (mereka). Allah sebaik-baik yang menggagalkan perancangan jahat".
Baginda Rasulullah S.A.W. mempunyai pandangan yang jauh, akal fikiran yang tajam , semangat juang yang tinggi, kekuatan mental dan rohani serta tabah dan berani dalam menempuh pelbagai cabaran dan dugaan yang seharusnya dicontohi, sama ada di waktu penghijrahannya dari kota Mekah ke kota Madinah atau selepasnya. Oleh yang demikian, umat Islam  hendaklah bangun membina kekuatan rohani seimbang dengan kekuatan mental dan jasmani seperti yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah S.A.W. dalam menyebar luas syiar Islam. Oleh itu setiap umat Islam  adalah bertanggungjawab  mempertahankan agama Allah.

Ketokohan nabi Muhammad sebagai manusia teragung yang pernah dilahirkan di muka bumi ini memang tidak dapat disangkal lagi walaupun oleh orientalis-orientalis dari barat. Jika hendak dibandingkan dengan ajaran lain seperti Kristian, Buddha, mahupun Yahudi, Rasulullah (S.A.W) merupakan satu-satunya pengasas agama yang secara jelas sejarahnya diceritakan sejak baginda dilahirkan sehingga baginda wafat. Ketokohan Nabi Muhammad (S.A.W) dalam memimpin sebuah negara, menjadi seorang jeneral perang, menunjukkan contoh yang terbaik kepada umatnya bagaimana untuk menjadi seorang sahabat, ayah, suami, anak dan lain-lain menjadikan baginda sebagai manusia yang teragung yang pernah dilahirkan hingga ke hari ini.
Sebagai seorang daripada jutaan umat Muhammad, kita patut menyambutnya dengan memahami konsep dan sebab mengapa kita menyambut maulidur rasul setiap tahun. Bukannya kita terikut-ikut dengan budaya orang lain tetapi kerana kita sedar bahawa penyatuan ummat perlulah berasaskan kepada ciri-ciri yang baik dan murni dan salah satunya adalah dengan Wasatiyyah.



 Selamat Menyambut Maulidur Rasul pada 12 Rabiul'awal tahun 1434 Hijrah bersamaan dengan 24 Januari 2013.

##~ohh hatii~##

Jejari ini begitu pantas menari di dada kekunci. Setia menguntai bicara, menyulam kata agar terubat keresahan yang mencengkam hati

.Sujudku kini makin berlagu tangisan..diri ini dihimpit
 kesepian..walau masih ada teman yang sudi menemani, semua itu tak mampu meruntun kehendak hati..

Tuhan, aku tahu aku hamba kerdilMu yg cukup lemah..aku tahu, aku juga hamba yang dipilih olehMu tuk lalui ujian ini..Berikan aku secebis kekuatan, pasakkan utuh imanku, agar aku mampu terus berdiri, melangkah teguh dalam landasan yang Kau aturkan ini..kuatkan aku agar aku mampu berhenti merintih, berhenti meratap dalam tangisan yang tidak berkesudahan..aku bimbang, rintihan itu bakal menggoyahkan imanku, ratapan itu bakal menjauhkan aku dari pandanganMu..

Ya Rabbul Izzati..

Tiada siapa yang mampu memahami kemelut jiwaku..tiada siapa yang paling memahami gelora rasa yang menyiat dadaku ini melainkanMu..aku mohon Ya Tuhan..kurniakan kecintaan yang tinggi dalam hatiku berlandaskan agamaMu ini..tuntunlah hatiku agar aku tidak mudah goyah biar setinggi mana ombak melanda, biar seganas mana badai masalah menghempas hidupku..tanamkanlah sauh ketetapan imanku, agar kapal iman ini tidak berganjak haluan..biarkanlah badai dan ombak itu pergi begitu sahaja tanpa sedikit mencalarkan jasad kapal kehidupanku..


Tuhan,
Andai semua ini takdir yang Kau tentukan untukku..aku redha menerimanya sebagai sebaik-baik ketentuan untukku..aku mohon, terangi hatiku yang sirna ini dengan kasih sayangMu yang tidak pernah kunjung malap..Ya Allah, kuatkanlah ikatan kasih sayang dalam hati insan yang aku cintai..kurniakan kesejahteraan untuk insan-insan kesayanganku.
.

Saat dirundung kesulitan,,kebuntuan,,aku lebih suka pergi melihat kejadian alam.pantai,tasik,air tejun..,,menjadikan jiwa ini lebih tenang, menjadikan diri ini lebih dekat dgn Tuhan,,, Membuat kn aku sedar,,Allah x pernah meninggalkn diri ini..innallah maie... :(

Friday 18 January 2013

~**Sabar dalam Menghadapi Ujian itu Sukar Tetapi Indah~**



Sabar dalam menghadapi ujian itu buahnya manis.
Masalah. Sebenarnya setiap orang tidak akan terlepas daripada menghadapi masalah selagi hidup di dunia ini. Sehingga wujudnya statement extreme yang menyatakan bahawa;
“hidup ni hanyalah untuk menyelesaikan masalah.. lepas satu masalah selesai, masalah lain pulak yang akan datang, penat! Seolah-olah hidup ini hanyalah untuk menyelesaikan masalah semata-mata.”
Tidak dinafikan, perasaan sebegini akan hadir dalam diri kita yang sudah terlalu penat dan lali berhadapan dengan masalah. Apatah lagi masalah yang dihadapi itu terlalu berat dan sudah tidak tertanggung lagi. Ungkapan sabar dan kata-kata semangat dari orang sekeliling seolah-olah tidak punyai makna lagi. Sehingga kita merasa, tidak ada orang dalam dunia ini yang paling besar masalahnya selain daripada kita. Masalah kitalah yang paling besar dan berat sekali. Tidak akan ada orang yang memahami apa yang kita rasa. Pandangan simpati daripada sahabat handai hanya sekadar pandangan kosong  yang tidak punyai apa-apa makna. Begitulah analogi beratnya perasaan yang dirasa apabila diri ditimpa masalah. Apatah lagi apabila masalah yang datang itu berangkai-rangkai. Belum selesai lagi satu masalah, masalah lain pula yang datang. Kekadang mengundang sesak di dada dan rasa hidup sudah tidak punya alasan lagi untuk merasa ceria dan gembira. Malah lebih teruk, kita merasakan diri sudah tidak punyai apa-apa lagi, kesabaran menipis, gunung berapi kemarahan mudah meletus dan kepercayaan bahawa Allah sentiasa menolong hamba-hamba-Nya yang sabar sudah mulai goyah.
Maka, di sinilah hati dan fikiran kita punyai peranan yang penting. Andai hati dan fikiran itu terpandu dan sentiasa berfikiran positif dalam menghadapi kegawatan perasaan, hati, fikiran malah tenaga yang dimiliki, untunglah. Tapi, seandainya fikiran dan perasaan negatif sentiasa menyucuk minda dan menghasut hati, maka, rasa berputus asa akan mudah untuk menjengah jendela hati yang terbuka. Sehingga pengharapan dan keimanan kepada-Nya semakin menipis. Ditambah pula dengan amalan ibadah harian yang kurang sempurna.
Teman, masalah itu adalah satu bentuk ujian dan dugaan daripada Allah S.W.T. untuk kita membuktikan sejauh mana kebenaran dan utuhnya akujanji iman kita kepada-Nya.
Firman-Nya yang bermaksud;
                “Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya; “bilakah (datangnya) pertolongan Allah?”. Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah.)
(Al-Baqarah:  Ayat 214)
Dan dalam firman-Nya yang lain;
                “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”
(Al-Ankabut: Ayat 2 – 3)
Teman, diuji dengan ujian kepayahan itu sangat sukar untuk dihadapi. Apatah lagi ujian berbentuk masalah itu datang ke kamar diri tanpa mengetuk pintu. Apatah lagi andai kita diuji dengan sesuatu masalah yang sangat sukar untuk diselesaikan. Terasa seolah-olah masalah yang dihadapi tidak sekali-kali dapat diselesaikan dan tiada penghujungnya. Apatah lagi ujian itu bertandang ke dalam diri dalam jangka masa yang lama. Bukan sehari dua, bukan seminggu dua, bukan juga sebulan dua, tetapi bertahun-tahun. Maka, kesabaran pasti akan menipis. Andai kata kita memang dianugerahkan kesabaran yang tinggi; ketabahan yang luar biasa sekalipun, pasti terdetik dalam hati kita untuk mempersoalkan kewajaran ujian yang dihadapi.
Ya.. kita memang manusia yang lemah, manusia yang alpa, manusia yang lalai, malah manusia yang punyai nafsu. Perasaan sebegitu adalah normal teman. Normal kerana manusia memang dilahirkan sebegitu. Pada saat ini, janganlah sekali-kali melayan prasangka-prasangka buruk yang timbul di dalam hati. Didiklah hati, nafsu dan fikiran untuk bersabar. Bagaimana untuk meningkatkan kesabaran? Perkara sabar bukanlah senang untuk dilaksanakan sebagaimana ia senang untuk diperkatakan. Sabar itu sukar. Apatah lagi apabila nafsu sentiasa membelai diri kita yang negatif sehingga kita tegar untuk meremehkan urusan ibadah kepada-Nya. Kesannya, nipislah iman kita yang sedia nipis itu.
Teman, sesungguhnya kita memang sudah sedia maklum. Tiada jalan lain untuk menangani masalah yang dihadapi, tiada cara lain yang ada untuk meningkatkan kesabaran dan memperkukuhkan iman di dalam diri selain dari mendekatkan diri kita kepada Allah. Tiada jalan lain selain daripada menjaga hubungan kita dengan Allah S.W.T. Pencipta kita yang Maha Agung. Pencipta kita yang Maha Lembut, Maha Pemurah, Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Sungguh. Tiada cara lain selain daripada menjaga hubungan kita dengan Allah S.W.T.
Firman-Nya yang bermaksud;
                “Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahu akan tiap-tiap sesuatu)”
(At-Taghaabun: Ayat 11)
Pada saat kesabaran dan iman makin menipis, maka dirikanlah solat dan berdoalah kepada-Nya agar kita sentiasa dikurniakan kesabaran dan ketabahan yang tinggi untuk menghadapi ujian dan dugaan-Nya. Mohonlah kepada-Nya untuk membantu kita untuk terus istiqamah dalam beribadah kepada-Nya, diberi kekuatan untuk bermujahadah melawan segala jenis nafsu. Kerana, sesungguhnya hanya Dia yang Maha Pelindung dan Maha Mengabulkan doa-doa hamba-Nya. Gunalah slogan yang popular itu; “lawan tetap lawan!” dalam bermujahadah. Iman manusia seperti kita memang sentiasa fluctuate. Jangan risau, apa yang perlu dilakukan ialah berusaha dengan jalan yang sabar.
Firman-Nya yang bermaksud;
                “Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.”
(Al-Baqarah: Ayat 153)
“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.”(Al-Baqarah: Ayat 45)
Dari itu, jagalah hubungan kita dengan Allah S.W.T maka insya Allah Dia akan menjaga dan  menolong kita. Insya Allah, keyakinan dan keimanan kepada-Nya juga akan dapat dipertingkatkan. Titipkanlah doa di akhir setiap solat agar Dia memberikan kekuatan kepada kita untuk terus istiqamah dalam beribadah serta kekuatan untuk bermujahadah melawan kemungkaran.
~Dunia ini merupakan neraka bagi orang yang beriman dan syurga bagi orang-orang yang ingkar.
~Sesungguhnya ujian yang hebat hanya diberikan kepada orang-orang yang hebat. Maka, bertuahlah orang-orang yang menerima ujian yang maha hebat dan dapat menempuhinya dengan sabar dan jayanya kerana ia merupakan satu latihan dan persediaan untuk mereka menjadi orang yang lebih hebat.
~Sentiasalah berfikiran positif dan berada bersama dengan mereka yang berfikiran serta mempunyai sikap yang positif. Ia akan membantu kita untuk menjadi  lebih positif dalam mengharungi ujian kehidupan.
~Perspektif yang positif ini memang ubat yang mujarab dalam menghadapi ujian kehidupan, malah ia akan membantu kita untuk mencerap hikmah yang diperolehi daripada setiap ujian. Anggaplah ujian dan dugaan yang diberikan itu sebagai kafarah kepada dosa-dosa kita. Insya Allah kita akan lebih redha  dan bersyukur dalam menghadapi ujian kesukaran apatah lagi ujian kesenangan dalam kehidupan.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud;
                “Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jamaah hamba-hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku.”
(Al-Fajr: Ayat 27 – 30)
Semoga kita semua sentiasa dalam redha dan limpahan rahmat-Nya.. aamiin~

Wednesday 16 January 2013

~sakit itu kafarah dosa~


Setiap penyakit ada ubatnya kecuali mati.

"Tidaklah Allah menurunkan sesuatu penyakit melainkan DIA telah menurunkan untuknya ubat. Perkara itu diketahui oleh orang yang mengetahuinya dan tidak diketahui oleh orang yang tidak mengetahuinya."
(Hadis Riwayat Ahmad)

Di sini saya ingin berkongsi tentang adab-adab menziarahi pesakit... ada kalanya kita terlupa bahawa adanya adab-adab ketika menziarahi kawan-kawan kita yang sedang sakit.
  • Mengikhlaskan niat semata-mata kerana Allah S.W.T untuk mengeratkan silaturahim.
  • Memilih waktu yang sesuai. Menurut Anas r.a, Nabi S.A.W biasanya menziarahi sahabat yang sakit setelah tiga hari.
  • Membaca doa berikut :    أسأل الله العظيم رب العرش العظيم أن يشفيك  
                         Maksudnya : Aku memohon kepada Allah yang Maha Agung, Pemilik Arasy   yang Agung, mudah-mudahan DIA menyembuhkanmu!
  • Membawa buah tangan
  • Mengucapkan lafaz sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W :

     لا بأس طهور إن شاء الله                              

         Maksudnya : Tiada apa-apa, mudah-mudahan menjadi pelebur dosa, Insya Allah.
     
  • Bermesra dengan pesakit. Bawakan cerita-cerita yang dapat menenangkannya dan ahli keluarganya.
  • Haram mengatakan sesuatu perkara yang boleh melukakan perasaan pesakit.
  • Membantu meringankan masalah yang dihadapinya dengan sedaya upaya.
  • Menjaga pergaulan.
  • Meletakkan tangan pada orang yang sakit dan berdoa : 
                                    بسم الله أعوذ بالله وقدرته من شرما أجاد وأحاذر 
Maksudnya : Dengan nama Allah, aku berlindung kepada Allah dan kekuasaanNYA daripada kejahatan yang aku dapat dan waspada.
  • Jika pesakit berada dalam keadaan nazak, hendaklah kita :
                     Berbaik sangka dengan ketentuan Allah, mengajarnya mengucap dan memperbanyakkan istighfar untuk pesakit, memohon kepada Allah agar diampunkan dosanya. 

Sumber : Majalah Solusi, Isu No 38

Saya doakan semoga kawan saya yang kini berada di hospital semoga cepat sembuh... sesungguhnya Allah sentiasa bersama kamu...Syafakillah
                 
             Wallahu a'lam.