Monday 10 June 2013

~#$$HaNtArAn Oh HaNtAraN~#$$


Kalau dulu, majlis yang pakai khemah yang tinggi-tinggi ni majlis wakil rakyat jer", Pakcik Wahid memulakan bicara.
"Sekarang saya tengok, majlis bertunang pun orang dah buat majlis besar-besaran. Siap pasang khemah banyak-banyak pulak tu",tambahnya lagi.
Saya mengangguk tanda setuju.
Memang diakui. Kebelakangan ini semakin rancak majlis pertunangan diadakan. Jika dahulu kita dapat dengar orang memperkatakan tentang wang hantaran semakin tinggi disebabkan harga minyak petrol naik, sekarang ramai pula yang memperkatakan tentang kenduri sempena bertunang.
Mengapa majlis bertunang sudah gah ditontonkan kepada masyarakat?
Sedangkan ianya sangat bertentangan dengan apa yang Rasulullah Sholallahu A'laihi Wasalam pesankan kepada kita. RAHSIAKAN PERTUNANGAN, HEBOHKAN PERNIKAHAN.
Kita belum tahu lagi apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Mungkinkah masyarakat kita akan buat Majlis Perkenalan sebelum dilangsungkan Majlis Pertunangan! Siapa tahu?
#PERIHAL MAJLIS PERTUNANGAN#
"Kita jangan ikut artis. Apa yang artis buat semua nak tiru sedangkan tak mampu. Last-last yang susahnya pihak lelaki yang kena sediakan hantaran tinggi sebab pihak perempuan nak buat majlis pertunangan. Nak grand la katakan. Adoi", keluh Pakcik Wahid lagi.
Majlis bertunang sudah dibuat kad jemputan. Majlis bertunang pun sudah ada pelamin.Majlis bertunang sudah dijemputnya pasukan kompang. Majlis bertunang juga sudah ada baju bertunang. Semuanya persis sebuah majlis perkahwinan yang membazir.
Apabila semua ini telah menjadi satu 'keperluan' kepada masyarakat, semakin tinggilah kos sebuah perkahwinan.

Apa yang lebih membimbangkan, ada pasangan yang sanggup berhutang untuk mengadakan majlis bertunang tetapi baru hari ini bertunang esok sudah putus!
Ikatan pertunangan adalah proses berkenal-kenalan sesama pasangan dan keluarga. Jika dalam tempoh bertunang itu dirasakan tidak sesuai, tidak mengapa jika diputuskan pertunangan kerana dikhuatiri akan membawa masalah selepas berkahwin.
Jika bertunang pun diheboh-hebohkan, tidakkah malu bagi pihak perempuan jika pertunangan mereka terpaksa diputuskan? Sedangkan bertunang itu bukanlah satu ikatan sah.
WANG HANTARAN MAHAL?
Masih ingat lagi dengan jadual WANG HANTARAN MENGIKUT TARAF PENDIDIKAN yang popular di Facebook sekarang?
UPSR, PMR/SRP : RM1,000 – RM3,000
SPM : RM3,000 – RM8,000
STPM/DIPLOMA : RM8,000 – RM12,000
DEGREE : RM12,000 – RM15,000
2ND DEGREE/MASTER : RM15,000 – RM20,000
PHD : RM20,000 – RM30,000
Tak mustahil semua ini akan menjadi fenomena Global! Kebiasaannya sekarang, pihak perempuan akan minta wang hantaran sebanyak RM10,000 atau lebih. Fikirkan, bagaimana mahu mencari duit yang sebanyak itu? Sebab itulah ramai yang pinjam ALONG untuk TOLONG mereka kahwin dan akhirnya TERLOLONG begitu sahaja (tak mampu bayar pinjaman).
Mungkinkah seorang lelaki yang baru menamatkan pengajian di Universiti dan baru mula bekerja dapat mengumpul wang sebanyak itu dalam tempoh yang sangat minima?
Tidak semua mendapat gaji yang tinggi sewaktu mula-mula bekerja. Ditambah lagi dengan bebanan pinjaman pendidikan yang perlu dilangsaikan, memang sangat memeritkan kepada pihak lelaki untuk mengumpul wang untuk berkahwin.
*CINTA PUNYA PASAL*
"Kerana cintaku kepadamu, akanku bayar seluas lautan untukmu" (Cewahhh!!)
Bagi lelaki pula, cinta menyebabkan mereka sanggup untuk mengharungi semua itu. Berapa yang pihak perempuan minta disanggupkan sahaja. Kalau tak dapat nak sediakan wang hantaran yang diminta, ramai lagi anak Dato' yang bersusun untuk meminang si dara. Melepas nanti!
Jika soal cinta diperjuangkan, mengapa pula si dara tidak mahu membantu si teruna untuk meminangnya? Bukankah jika ada cinta semuanya akan mudah belaka? Mengapa pihak perempuan tidak mahu menasihati keluarganya untuk meletakkan kadar hantaran yang MAMPU BAYAR kepada pihak lelaki.
Bukankah itu juga satu bentuk pengorbanan dalam cinta oleh pihak perempuan?
$WANG HANTARAN SESUATU YANG WAJIB KE?$
Kos berkahwin yang begitu tinggi menyebabkan ramai lelaki menangguhkan perkahwinan mereka. Bukannya soal tiada calon tetapi sebab tak ada ongkosnya!
Tetapi jika kita kembali kepada Islam, perkahwinan sangat dipermudahkan. Ada kisah seorang sahabat Nabi yang mahu berkahwin tetapi tidak mempunyai wang :
Dari Riwayat Muslim, hadis Sahl bin Saad RA katanya :
Pada satu ketika seorang perempuan datang berjumpa Nabi Muhammad SAW seraya berkata:
"Wahai Rasulullah! Aku telah datang untuk menyerahkan diriku kepadamu".
Lalu Nabi SAW memandang kepadanya sambil mendongak kepadanya dan memerhatikan dengan teliti kemudian baginda mengangguk-anggukkan kepalanya.
Apabila perempuan itu mendapati Nabi Muhammad SAW diam tanpa memberi keputusan, perempuan itu segera duduk, lalu bangunlah seorang sahabat dan berkata:
"Wahai Rasulullah! Sekiranya kamu tidak ingin mengahwininya kahwinkanlah aku dengannya".
Nabi SAW segera bertanya: "Adakah engkau memiliki sesuatu yang boleh dijadikan MAS-KAHWIN".
Sahabat menjawab: "Tidak ada!"
Nabi SAW bersabda: "Pulanglah menemui keluargamu mencari sesuatu yang boleh dijadikan mas-kahwin".
Lantas sahabat tersebut pulang, kemudian beliau kembali menemui Nabi SAW dan berkata:
"Demi Allah! Aku tidak menjumpai apa-apa pun yang boleh dijadikan mas-kahwin".
Maka Nabi SAW bersabda lagi:
"Carilah walaupun sebentuk CINCIN BESI".
Lalu sahabat tersebut pulang dan datang kembali serta berkata:
"Wahai Rasulullah! Demi Allah aku tidak menjumpai apa-apa walaupun sebentuk cincin besi, tetapi aku hanya memiliki kainku ini iaitu kain yang hanya boleh menutupi bahagian bawah badannya".
(Sahl berkata: Sahabat ini tidak mempunyai pakaian yang menutup bahagian atas badan).
Nabi SAW bersabda : "Apa yang engkau boleh buat dengan kain engkau itu, sekiranya engkau memakai kain itu. Perempuan tersebut tidak dapat memakainya walaupun sedikit. Apabila dia memakai kain tersebut engkau tidak mempunyai apa-apa untuk dipakai".
Sahabat itu duduk sehinggalah sekian lama kemudian bangun. Nabi SAW memandang kepadanya seterusnya dia beredar dari situ. Setelah itu Baginda SAW memerintahkan supaya dia dipanggil. Apabila sahabat tersebut sampai, Nabi SAW bertanya:
"Apakah yang engkau miliki daripada Al-Quran?"
Sahabat tersebut menjawab: "Aku hafaz surah itu dan surah ini".
Sahabat berkenaan menghitungnya, Nabi SAW bersabda lagi:
"Adakah engkau membacanya secara hafalan?"
Sahabat tersebut menjawab: "Ya!"
Nabi SAW nersabda :
"Pergilah! Engkau telah memilikinya bermas-kahwinkan ayat atau surah Al-Quran yang engkau hafaz".
Kredit : Melayu.Com

Sesungguhnya Islam tidak meletakkan kadar Mas Kahwin yang wajib diberikan kepada isteri. Tetapi kebetulan pula setiap negeri sudah meletakkan harga Mas Kahwin yang wajib dibayar oleh pengantin lelaki kepada pengantin perempuan dan harga mas kahwin itu tidaklah terlalu membebankan. Misalnya di Selangor, harga mas kahwin hanya RM300 sahaja!
Hantaran dan Mas Kahwin sesuatu yang berbeza. Hantaran adalah adat dan mas kahwin adalah syariat. Mudahkan perkahwinan dan jangan bebankan dengan sesuatu yang tidak perlu.
Berbelanja mengikut kemampuan dan tak perlu mengejar populariti dalam perkahwinan. Apa yang penting bukannya majlisnya yang 'meletup', tetapi pengisian selepas perkahwinan yang harus hebat (bertanggungjawab dalam perkahwinan).
Renungkan apa yang Nabi Muhammad pesan kepada kita tentang soal perkahwinan :
"Daripada Aisyah, Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud: 'Sesungguhnya nikah yang paling besar keberkatannya ialah yang paling murah (rendah) maharnya.'"
(Hadis riwayat Al-Baihaqi)
Di akhir perbualan saya dengan Pakcik Wahid, "Kalau saya nak pinjam duit kat pakcik untuk kahwin, lebih baik pakcik yang kahwin!"
Apakah?

~#sumber ilmu ili~#



Friday 31 May 2013

#PilIh jOdOh BerTudUng @MeNUtUp AuRaT??#


"Aku tak nak kahwin dengan perempuan yang bertudung!"
"Haa? Kenapa?"
"Aku nak kahwin dengan wanita yang tutup aurat."
Alhamdulillah. Tersenyum hati mendengar jawapan yang serius itu. Tentunya jejaka tersebut seorang yang sangat menjaga diri dan kehidupannya. Pasti dia bukan calang-calang lelaki.
Bayangkanlah, pasangan hidup yang dipilih bukan sekadar bertudung tetapi lengkap menutup aurat. Dalam erti kata lain, dia sedar bahawa urusan perkahwinan bukanlah perkara yang remeh. Hanya insan yang mentaati Allah dan Rasul-Nya sahaja yang terpaut di hati untuk dijadikan permaisuri dalam istana rumah tangga.
Lihatlah di sekeliling kita. Apa yang berlaku dalam masyarakat Islam hari ini? Berapa ramai wanita yang bertudung? Pasti boleh dibilang dengan jari bukan? Tidak ramai. Yang bertudung pula, tidak semua menutup aurat dengan sempurna.
Buktinya? Kita boleh lihat dengan mata kepala kita sendiri. Mereka bertudung tetapi tidak labuh hingga menutupi dada. Pakaian pula ketat, singkat, tipis, malah ada yang berlengan pendek. Jelasnya, mereka hanya bertudung namun dalam masa yang sama tetap mendedahkan aurat.

Hayati kembali perintah Allah ini;
ا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُل لِّأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاء الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِن جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَن يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُوراً رَّحِيماً
Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka". Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal,maka mereka tidak akan diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
[33:59] 
Faktor inilah yang menyebabkan lelaki-lelaki yang beriman sangat memilih dalam soal pemilihan calon isteri. Bagi mukmin yang betul-betul hidup kerana Allah, dia pasti akan berfikir lima enam kali sekiranya diminta untuk memilih wanita yang 'bertudung tapi mendedahkan aurat'. Kemungkinan besar, permintaan wanita itu akan ditolak atau tidak dilayan.
Bagaimana pula dengan wanita yang langsung tidak bertudung? Di mana mereka di hati orang mukmin? Adakah mereka akan menjadi pilihan hati lelaki-lelaki yang bertaqwa? Sudah pasti tidak! Sedangkan yang bertudung pun masih diragukan dan ditolak ke tepi, apatah lagi yang langsung tidak bertudung? Pasti akan dibuang sejauh-jauhnya.
"Cerewet sungguh orang-orang mukmin!"
Ya.. memang cerewet! Hehee..
Pernah membeli makanan di kedai kuih? Mana satu yang menjadi pilihan, kuih yang dibungkus penuh, atau kuih yang dibungkus separuh? Atau yang langsung tidak berbungkus? Saya yakin kita akan memilih yang berbungkus penuh kerana keadaannya dijamin lebih baik dan bersih.
Begitulah juga dengan orang-orang mukmin. Mereka memang sangat memilih dalam hal ini. Bukan apa, kehidupan berumah tangga diwujudkan semata-mata untuk beroleh rahmat daripada Allah agar bahagia di dunia dan di akihirat. Andai tersalah pilih atau memilih mengikut nafsu, maka akan hilanglah bahagia dikemudian hari.
Lagipun Rasulullah SAW pernah berpesan kepada kita semua ;
"Wanita dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, kerana kedudukannya/ keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka, pilihlah yang baik agamanya nescaya engkau beruntung."
[Riwayat Bukhari dan Muslim]
Rasulullah SAW ketika ditanya oleh para sahabat mengenai ciri wanita pilihan yang diperlukan oleh suami, Rasulullah SAW menjawab,
" Wanita yang menyenangkannya ketika dilihat. Wanita yang mentaatinya ketika disuruh, wanita yang tidak mengkhianatinya (tidak curang), dan wanita yang tidak mengkhianati hartanya pada perkara yang dibenci."
[Riwayat Abu Daud dan Nasai]
Wanita yang bertudung tetapi masih mendedahkan aurat di khalayak ramai merupakan wanita yang tidak serius menjalankan ketaatan kepada Allah. Wanita sebegini tidak mengamalkan ajaran Islam secara keseluruhan. Lantas bagaimana hendak dipilih menjadi calon isteri?
Cuba fikirkan sejenak..
Sedangkan perintah Allah SWT sanggup diabaikan inikan pula kita sebagai manusia biasa? Sudah pasti dengan mudah akan diingkari bukan? Pada masa itu, jangan hairan sekiranya kebahagiaan itu beransur-ansur hilang. Semuanya atas pilihan kita juga."Tapi jodoh sudah ditentukan! Kalau dia ditakdirkan untuk berkahwin dengan orang yang tidak menutup aurat secara sempurna, apa boleh buat.. memilih-milih pun tiada guna."
Ya.. jodoh memang sudah ditentukan oleh Allah. Allah sahajalah yang layak menyatukan hati-hati insan kerana hanya Dia yang mengetahui perihal hati. Kita jangan lupa bahawa jodoh atau ketetapan itu dijalankan dengan penuh keadilan oleh Allah SWT. Allah sesekali tidak akan menzalimi hamba-Nya. Allah tidak akan pernah mengecewakan hamba-Nya.
Lelaki baik yang beriman pasti akan berkahwin dengan perempuan baik yang beriman. Sebaliknya, lelaki yang tidak beriman akan berkahwin dengan perempuan yang tidak beriman juga. Itu janji Allah!
الْخَبِيثَاتُ لِلْخَبِيثِينَ وَالْخَبِيثُونَ لِلْخَبِيثَاتِ وَالطَّيِّبَاتُ لِلطَّيِّبِينَ وَالطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَاتِ
"Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula).
[24:26]
 
Maka, sebagai wanita..
Periksalah diri anda.. Tutuplah aurat dengan sempurna.
Bersungguh-sungguhlah mentaati Allah dan Rasul-Nya.
Usahlah terlalu sibuk memikirkan siapa yang bakal menjadi pasangan hidup kita,
sehingga lupa untuk sibuk memikirkan siapa diri kita di sisi Allah..
Kerana sikap diri kita hari ini menentukan sikap pasangan kita kemudian hari.
- sumber ilmu ili~

Wednesday 29 May 2013

(bertudung dengan sanggul TINNGI.bolehkah??)


Akhir akhir ini ada fenomena pemakaian hijab/tudung oleh wanita di Malaysia iaitu dengan membuat gelungan tinggi diatas kepala lalu menutupnya dengan hijab/tudung. Sehingga nampak gelungan rambut yang menonjol dan sebahagian orang berpendapat membuat wanita yang berjilbab lebih anggun. Sanggul itu menyerupai gelungan yang sangat tinggi yang memperlihatkan bahawa si pemakai tudung memiliki rambut yang panjang. Sebenarnya pemakaian jilbab sanggul seperti ini diperbolehkan  atau tidak dalam syariat islam? Ada sebahagaian yang menganggap haram dan ada yang menganggap tidak apa-apa. Kenapa haram kerana style seperti itu memperlihatkan aurat wanita.  Dengan jilbab yang tinggi mengindikasikan bahawa rambut wanita itu panjang. Dengan demikian aurat dari rambut wanita akan mudah diketahui.
Selain itu ada hadith yang menyebutkan bahawa ini  haram, hadith ini saya terjumpe ber Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Dua golongan di kalangan ahli neraka yang tidakkan aku pandang yaitu kaum yang bersama mereka cemeti seperti ekor lembu yang dengannya digunakan memukul orang lain dan wanita-wanita yang berpakaian bagaikan bertelanjang yang condong kepada maksiat dan menarik orang lain untuk membuat maksiat. Sanggul dikepala mereka ditusuk tinggi-tinggi seperti bonggol unta yang sangat lemah. Mereka ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya sedangkan sesungguhnya bau syurga itu sudah boleh dicium dari jarak demikian dan demikan.
(Riwayat Muslim).
Sedangkan mereka membolehkan sanggul tinggi menyatakan bahawa hal itu wajar, kerana wanita berambut panjang harus menggelung rambutnya jika memakai jilbab, bersanggul tinggi tidak melebih-lebihkan dalam penampilan. Yang penting auratnya ditutup karena Allah mewajibkan wanita menutup aurat untuk menjaga kecantikannya.
Masalah syariat dalam islam memang  susah untuk diterapkan. Seiring perkembangan zaman selalu muncul keadaan yang membuat kita harus berfikir kembali pada agama. Apakah agama kita membolehkan? Bagi kalian yang berjilbab silakan mencari info lagi yang banyak tentang hukum ini. Kalau saya sendiri tidak terlalu mempermasalahkan kerana menyanggul rambut yang panjang digunakan untuk memakai tudung adalah wajar. Asal sanggulnya juga tidak terlalu tinggi sehingga tidak nampak berlebihan..jika kajian saya salah ianya dtg dari silap saya sndiri.yang benar hanya dari ALLAH SWT..wallahualam....:)

Monday 27 May 2013

@_ReDhA ALLAH atau rEdhA mAnUsIA_@


Sudah menjadi lumrah apabila manusia sentiasa hendak dilihat menarik dan menjaga adab mereka walau di mana mereka berada di hadapan orang sekeliling. Kalau boleh semuanya ingin nampak sempurna dan terbaik. Dari segala aspek hidup, manusia akan menjaga tingkah laku sebaik-baiknya demi menjaga nama baik dan maruah seperti di majlis keramaian, di pejabat, majlis berbentuk protokol.
Manusia mengaplikasikan peraturan yang dicipta manusia sendiri, tetapi malangnya manusia lalai dalam mengaplikasikan peraturan yang hakiki yang dicipta oleh Yang Hakiki iaitu Allah SWT. Manusia lupa bahawa mematuhi peraturan sebenarnya yang akan dihitung, ditimbang dan dinilai di akhirat kelak berdasarkan amalan dan tingkah laku sehari-hari adalah 'standard' yang. Dan 'standard' inilah yang perlu dijaga sebaik-baiknya.
Menjaga 'standard' di pejabat
Kebanyakan pekerja sememangnya menjaga nama baik, sama ada nama baik diri, kumpulan mahupun jabatan. Waktu rehat pejabat secara umumnya adalah pada pukul 1 petang hingga 2 petang bagi pekerja awam dan swasta. Kebanyakan pekerja yang sentiasa mengikut peraturan akan keluar rehat pada pukul 1 tepat untuk melepak bersama kawan-kawan dan berborak sehingga hampir pukul 2 petang. Selepas itu, masuk semula ke pejabat pada pukul 2 petang, pekerja tersebut belum lagi solat walaupun waktu solat Zuhur sudah masuk.
'Eh.. dah pukul 2.00 lah. Aku naik pejabat dululah, tunjuk muka dulu, nanti turun ke surau untuk solat'.
 Sampai begitu sekali kah kita menjaga 'standard' di hadapan manusia? Sehinggakan kita mengabaikan tahap 'standard' yang sepatutnya kita jaga di hadapan Allah.
Abdullah bin Mas'ud telah bertanya kepada Rasulullah SAW:
"Apakah amalan yg paling disukai Allah SWT?" Sabda Rasulullah SAW: "Solat dengan menjaga waktunya.".
(Riwayat Bukhari, al-Jaami al-Sahih no.2782]).
Astaghfirullahala'zim.. Kita sanggup melewat-lewatkan solat hanya kerana tidak sanggup mendengar orang mengata kita. Kita sanggup mengabaikan 'pertemuan dengan Kekasih' kita, mengutamakan pertemuan dengan manusia 
Menjaga 'standard' di majlis keramaian
'Nanti aku nak beli baju baru berwarna merah dan hitam sebab konsep tema Makan Malam Tahunan kolej kita adalah warna hitam dan merah kan.."
'Alah..pakai sahaja baju yang kau ada, makan malam tu sekejap sahaja, jangan membazir..'
'Mana boleh, nanti orang akan pandang aku pelik dan mesti orang akan mengutuk aku sebab aku tak ikut tema'.
Betulkah fenomena seperti di atas selalu sahaja terjadi kepada kita? Astaghfirullahala'zim..
Selalu sahaja kita ingin mengejar peraturan yang dicipta manusia sendiri. Jika boleh, sebaik-baiknya kita hendak dilihat mengikut keseragaman dan sempurna di mata manusia. Tetapi kita lupa dan lalai bahawa Allah sudah menetapkan peraturan berpakaian yang sepatutnya bagi kaum Hawa dan Adam. Lantas, kita berlebih-lebihan, tidak menutup aurat dan menunjuk-nunjuk asbab ingin lebih mulia di sudut pandangan manusia.
Tidak salah hendak mengikut tema sesuatu majlis selagimana tidak lupa pada peraturan hakiki yang sebenar-benarnya. Namun, hakikatnya ramai manusia lebih memilih untuk menjaga 'standard' di hadapan manusia lain, sehingga tidak hairan lah ada yang lebih selesa berpakaian tidak menutup aurat sebaik-baiknya. Malah ada yang berpakaian tetapi singkat dan jarang. Hanya kerana tidak mahu dikatakan kolot dan tidak mengikut trend dan fesyen.
 Kita berlumba-luma untuk kelihatan anggun dan cantik di hadapan manusia. Tetapi kita selekeh dan comot sekali di hadapan Allah. Tidak sedarkah kita?
Mu'awiyah bin Haidah mengatakan : "Aku pernah bertanya : Ya Rasulullah , bagaimanakah aurat kami, apakah boleh dilihat oleh orang lain?". Baginda menjawab :"Jagalah auratmu kecuali terhadap isterimu atau hamba abdi milikmu". Aku bertanya lagi :" Ya Rasulullah , bagaimanakah kalau ramai orang mandi bercampur-baur di satu tempat? " Baginda menjawab : "Berusahalah seboleh mungkin agar engkau tidak melihat auratmu". Aku masih bertanya lagi: " Ya Rasulullah, bagaimanakah kalau orang mandi sendirian?" Baginda menjawab : " Seharuslah ia lebih malu kepada Allah daripada malu kepada orang lain".
(Hadis Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud).
Sesungguhnya kita hendak sahaja mengelakkan orang berprasangka buruk kepada kita, kerana itu dalam segala aspek kita hendak menjaga 'standard' di hadapan manusia, tetapi kita langsung tidak takut dan malu pada pandangan Allah SWT terhadap kita.
Kita lebih mencari kecintaan manusia lain berbanding kecintaan kepada Allah SWT kepada kita.
Kita lebih inginkan kemuliaan manusia daripada kemuliaan Allah SWT kepada kita.
Kita meraih redhanya manusia daripada redhanya Allah SWT sehingga sanggup mengenepikan hak Allah dengan melanggar perintah dan suruhanNya hanya kerana ingin menunaikan haknya manusia. Teringat suatu ketika Mu'awiyah meminta wasiat kepada isteri Baginda SAW iaitu Aisyah r.anha  lalu 'Aisyah menulis seperti yang pernah disebutkan oleh Baginda SAW yang bermaksud:-
"Sesungguhnya barangsiapa yang mencari redha Allah sedangkan manusia murka, maka Allah akan cukupkan baginya akan segalanya di dunia ini. Tetapi barangsiapa yang mencari keredhaan manusia dalam keadaan Allah murka, maka Allah menyerahkan nasibnya pada manusia."
(Hadis Sahih Riwayat At-Tirmizi).
Justeru, manakah yang lebih baik? Yang lebih mulia? Yang lebih tinggi ? Redhanya manusia atau redhaNya Allah.. Lalu mengapa terlalu menjaga 'Standard' di Hadapan Manusia – Kenapa Tidak Kerana Allah?
Semoga kita sentiasa muhasabah diri dan menjadi yang terbaik di hadapan Allah.  Jom 'Menjaga 'Standard' di hadapan Allah sebagai langkah ke Syurga'! ^_^ InsyaAllah.
- ~sumber ilmu ILI~

*~#ISTIKHARAH ITUPUN PERLU MUJAHADAH#~*


Benarlah, rumah tangga ummah ini sedang tergugah. Ertinya, kubu kita yang terakhir sudah ditembusi. Apabila dilaporkan setiap 15 minit berlaku satu perceraian, kita menjadi benar-benar bimbang. Betapa banyak ‘masjid’ yang roboh dalam masa sehari jika setiap 15 minit berlaku satu perceraian?
Akan tercapaikah perintah Allah agar “selamatkan dirimu dan keluargamu daripada api neraka?”. Akan  adakah lelaki yang terbaik sepertimana yang disabdakan oleh Rasulullah, maksudnya”dia yang terbaik ialah yang terbaik dengan keluarganya?” Ramai isteri mahupun suami menghubungi saya, meminta pandangan, saranan dan nasihat… Terus-terang saya katakan saya juga tidak berdaya. Sumbangan saya hanya tulisan dan buku. carilah di situ, Itulah sumbangan kecil saya. Mudah-mudahan, adalah sedikit panduan. Kali ini saya paparkan satu tulisan sebagai peringatan buat diri dan semua pengunjung :
ISTIKHARAH ITUPUN PERLU MUJAHADAH..
 Mengapa sukar benar hidup bersamanya? Mengapa kini dia berubah laku? Kenapa dia tidak seperti yang saya harapkan dulu? Padahal dia ada pilihan saya setelah solat istiharah. Apakah solat istikharah saya itu tersalah. Atau saya tidak faham petunjuk sebenar daripada Allah hasil istikharah saya dahulu? Saya sungguh menyesal.
 Begitulah antara suara rintihan dan kelohan yang kerap kita dengar samada daripada mulut isteri atau suami setelah beberapa lama mengharungi kehidupan rumah tangga. Apabila ‘warna sebenar’ pasangan kita terserlah yakni setelah lima tahun rumah tangga berumah tangga, maka pada waktu itu ada yang ‘reverse’ ke belakang, dirasakannya masalah kini adalah akibat tersalah membuat pilihan pada awal perkahwinan.
 Ini bukan muhasabah yang sehat. Sebaliknya, ini adalah satu musibah yang berat. Tidak ada gunanya ‘menggergaji abuk kayu’. Masa yang berlalu tidak akan berulang kembali. Kesalahan atau kesilapannya tidak akan dapat diperbetulkan lagi. Sebaiknya bersangka baiklah kepada Allah… dia suami atau isteri kita itu ialah takdir yang telah maktub untuk kita. Dia dan kita telah ditakdirkan Allah hidup bersama.
 Jangan ada di dalam hati kita rasa menyesal, rasa terlanjur, yang kita telah tersalah pilih. Tidak sekali-kali. Sekalipun pilihan kita tepat, tetapi kita tetap diuji. Maksudnya, istikharah yang betul dan tepat sekalipun bukanlah jaminan untuk kita tidak diuji. Istikarah kita tetap mengundang musibah… kerana itulah sunnatullah yang tidak berubah-ubah dan tidak sekali-kali bertukar ganti. Hidup dan mati kita adalah untuk di uji. Dunia dan medan rumah tangga hakikatnya adalah medan ujian siapakah diantara kita yang terbaik amalannya.
 Pasrahlah dengan pilihan yang kita telah lakukan lewat istkharah. Kata bijak pandai, setiap perkahwinan dibina atas dasar niat, harapan dan impian yang baik namun setiap pasangan suami isteri bertanggung jawab memupuk, membajaai dan menjaga benih kebaikan itu agar tumbuh menjadi pohon yang rendang. Perkahwinan Nabi Adam dan Siti Hawa yang berlaku di syurga itupun ditakdirkan terdampar di dunia untuk diuji dengan pelbagai kesusahan dan penderitaan.
 Jika sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan…ya itu sekiranya pangkal jalan kita salah. Namun bagaimana jika pangkal jalan kita sudah benar tetapi kita menghadapi masalah di tengah perjalanan? Jawabnya, teruskan perjalanan. Jangan berpatah balik. Namun telitilah satu persatu apa yang kita telah tersalah, belajar daripadanya. Jangan ulangi kesalahan yang sama berulang kali… cukup hanya sekali kerana orang mukmin itu tidak akan terjerumus dalam lubang yang sama dua kali.
 Jangan salahkan istikharah kerana itu sama dengan menyalahkan diri sendiri dan menyalahkan Allah. Apa yang penting, tanamkan di hati, bahawa Istikharah kita telah tepat, cuma setepat manapun pilihan kita hasil petunjuk Allah, kita tetap akan diuji. Ingat selalu, pilihan yang tepat hasil istikharah itu umpama benih yang baik. Ya, benih yang baik sekalipun memerlukan baja, cahaya, air dan dijaga dari gangguang serangga untuk bertunas, berdaun, berbunga dan akhirnya berbuah. Jadikanlah diri kita suami atau isteri yang umpama tukang kebun yang rajin bekerja di kebun cinta!
 Carilah semula di mana iman kita letakkan di dalam rumah tangga kita. Bukankah iman yang kita yakini dulu, kini dan selama sebagai dasar dalam pembinaan sebuah keluarga bahagia? Justeru, semak semula niat di hati, apakah rumah tangga kita masih fokuskan semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah.  Jika dahulu dasar istikharah kita untuk menjadi dan mencari pasangan yang soleh dan solehah, apakah kita masih berjalan di garis itu? Atau niat kita sudah sedikit melencong kerana hentakan ujian dan cabaran dalam berumah tangga?
 Ingat kembali bagaimana cinta kita bermula. Bagaimana istikharah telah menyatukan kita. Dengan hati yang jitu terbinalah rumah-tangga atas niat ingin menunaikan perintah Allah. Di situlah simpulan cinta dia dan kita diikat melalui akad nikah yang sah. Maka dengan nama Allah terdirilah sebuah rumah-tangga ini.
 Mesjid adalah ‘rumah’ Allah, maka begitulah sebuah rumah-tangga yang dibina atas nama Allah – ia umpama sebuah mesjid yang didalamnya suami, isteri dan anak-anak akan menegakkan hukum-hakam Allah. Jika berlaku sesuatu yang kusut dalam rumah-tangga, maka dengan mudah ia dapat diuraikan sekiranya suami dan isteri kembali merujuk ke pangkal penyatuan mereka dahulu yakni Allah. Dengan nama Allah kita bertemu (bernikah), maka kepada Allah jua kita merujuk segala-galanya sepanjang perkahwinan ini.
 Ertinya, Allah itu bukan sahaja perlu dirujuk ketika awal pemilihan semasa kita beristkharah, tetapi di pertengahan, di hujung sehingga ke akhir perjalanan sebuah rumah tangga. Tuhan telah menyediakan kebahagiaan untuk setiap pasangan yang berumah tangga, tetapi kita perlu berusaha untuk mencari dan mendapatkan kebahagiaan yang telah disediakan itu. Allah telah menyediakan rezeki untuk burung… tetapi burung perlu terbang untuk mendapatkannya!
 Jika ada iman, besarlah cita-cita. Apabila besar cita-cita, menjadi keillah masalah. Keluarga yang dibina atas dasar akidah juga mampu berdepan dengan apa jua ujian. Samada ujian itu dalam bentuk kekurangan harta benda, pergeseran jiwa, perbezaan fikiran atau pertembungan emosi antara suami dengan isteri atau ibu-bapa dengan anak-anak.  Kesatuan hati mudah dibina dengan sama-sama meletakkan Allah sebagai kuasa Pencatur dan Pengatur dalam apa jua tprogram, dan aktiviti di dalam rumah-tangga.
 Jika berlaku ujian kesusahan atau sesuatu yang tidak diingin, sikap menyalahkan orang lain kurang berlaku kerana masing-masing melihat kelemahan diri sendiri sebelum menuding jari kepada orang lain. Kemudian sama-sama menerima semua itu sebagai takdir lalu berusaha mengatasinya mengikut lunas-lunas yang dikehendaki Allah.
 Ya, tentu ada marah. Ya, pasti ada sedih, terkilan atau apa sahaja. Namun kemarahan, kesedihan, terkilan dan apa sahaja rasa-rasa yang negatif hanya sementara, cuma seketika… cita-cita yang besar (untuk hidup bersama di syurga) menyebabkan kita mampu memaafkan, meminta maaf dan akhirnya melupakan… dan kemudian pelayaran diteruskan lagi untuk menuju cita-cita besar itu.
 Istikharah bukan sahaja mengundang musibah. Istikharah juga menuntut mujahadah. Syurga itu maharnya mujahadah. Justeru tekanlah sifat-sifat mazmumah (buruk) sehingga ke paras paling minima. Bermujahadahlah kerana Allah bukan hanya untuk mendapat  penghargaan suami atau isteri. Isteri perlu mujahadah mentaati suami walaupun ketaatannya itu mungkin tidak dibalas dengan setimpal kerana dia berbuat demikian bukan mengharapkan balasan suami tetapi semata-mata kerana Allah. Walaupun takdirnya suami seorang yang menderhakai Allah tetapi itu bukanlah sebab untuk menderhakainya selagi apa yang disuruh atau dikehendakinya tidak berlawanan dengan kehendak Allah.
 Inilah ketaatan yang diberikan oleh wanita solehah – Siti Asiah isteri kepada Firaun yang terkenal kerana derhakakan Allah. Siti Asiah berbuat  baik kepada Firaun bukan kerana mengharapkan balasan Firaun tetapi hanya semata-mata taatkan perintah Allah yang menyuruh seorang isteri taatkan suaminya walaupun suaminya seorang penderhaka. Hanya apabila menyentuh soal akidah, Siti Asiah bangun melawan dan akhirnya terbunuh sebagai syuhadak.
 Begitulah suami yang memberi kasih sayang. Apa jua karenah isteri, terimalah dengan redha dan teruslah mendidik dan mendoakannya. Mungkin itu adalah takdir yang harus diterima kerana itulah jalan menuju syurga. Raihlah pahala dan kemuliaan seperti Nabi Ayub, Nabi Lut, Nabi Nuh, yang bersabar menghadapi isteri yang derhaka demi mengharap redha daripada Allah. Isteri itu pemberiaan daripada Allah, baik dan buruknya adalah untuk menguji kita. Jangan hanya dilihat pada pemberiannya (isteri) tetapi lihatlah siapa yang memberinya (Allah).
 Apabila sebuah keluarga benar-benar beriman maka mudahlah mereka menerima syariat sebagai peraturan. Orang yang yakin dengan Allah, pasti yakin dengan peraturan-Nya. Syariat adalah jalan atau platform untuk menuju matlamat  yang telah ditetapkan bagi sebuah keluarga.  Jika matlamat jelas tetapi jalannya kabur, maka tidak mungkin matlamat itu tercapai. Cita-cita menuju Allah memerlukan kita melalui jalan yang telah dibentangkan-Nya dalam Al Quran dan As Sunnah. Jalan itu ialah syariat.
 Oleh itu syariat yang merupakan peraturan-peraturan dari Allah itu mestilah menjadi panduan sepanjang melayari kehidupan berumah-tangga. Ia adalah ‘writen law’ yang mesti dipatuhi oleh setiap anggota keluarga. Tidak ada siapa walaupun suami atau ayah (pemimpin dalam rumah tangga) yang harus berada ‘above the law.’ Semuanya tertakluk kepada hukum wajib, haram, sunat, harus dan makruh dalam setiap perlakuan dan tindakan.
 Pendek kata dalam rumah-tangga yang menerima syariat sebagai jalan dan peraturan tidak timbul soal ‘Queen Control’ atau ‘King Control’ tetapi suami, isteri dan anak-anak sama-sama tunduk kepada Allah – Raja segala raja. Tidak timbul siapa yang  menang atau kalah dalam sesuatu perselisihan atau siapa lebih bijak dalam suatu perdebatan.
 Apabila iman dijadikan matlamat, syariat diambil sebagai jalan maka dengan sendirilah berbuahlah akhlak dalam keluarga tersebut. Akhlak adalah natijah hasil mengikut jalan yang jelas berpaksikan matlamat yang tepat.  Tanpa iman dan syariat tidak mungkin akhlak dapat dihasilkan. Di sinilah salahnya kita,  kita menyangka  istikharah itu segala-galanya. Padahal ia baru mukaddimah. Ya, terkadang kita terlalu cepat bercakap soal buah sebaik menanam biji benih tanpa menyedari banyak lagi yang perlu dilakukan untuk mendapat pokok yang baik .
Di sinilah letaknya kunci ke arah pelaksanaan pakej kebahagiaan bagi sebuah keluarga. Bermula dengan istikharah, dilalui oleh mujahadah, dan akhirnya barulah membuahkan rahmah dan mawaddah. Islam memberi penyelesaian menjurus dan tembus kepada punca pemasalahan bukan mengubat gelaja-gejala atau akibat-akibatnya berkisar pada formula-formula pinggiran.
 Ya, sebagai hamba Allah, merujuk kepada Allah bererti pengabdian secara total kepada kehendak dan peraturannya. Dan bila ini ingin dilakukan kita terpaksa kembali ke pangkal segala urusan yakni beriman kepada-Nya. Roh istikharah (merujuk kepada Allah) itu bukan hanya diawal perkahwinan, tetapi di pertengahan, di sepanjangnya, sehinggalah sampai ke hujungnya… syurga. Inilah istikharah cinta!
 ISTIKHARAH CNTA
 Kekadang mahmudah tidak kecapaian
Hanya dengan indahnya permulaan
Tapi harus ditempa oleh tusukan ujian
Dari kesakitan, kegagalan dan persengketaan…
sepanjang perkahwinan

Seringkali dosa dan mazmumah
Ditandai oleh retaknya ukhwah
Sejauh mana kasih cinta kita berdua
Dibatasi oleh cinta kita pada yang Esa
Teguh iman, kukuhlah percintaan
Isteriku…
Kekadang Allah menyempitkan…
Supaya kita tak hanyut dalam kesenangan
 Kekadang Dia melapangkan…
Supaya kita tak selalu dipagut kesempitan
 Kekadang Dia melepaskan kita dari kedua-duanya
Supaya tidak bergantung kepada sesuatu
selain-Nya!
 Isteriku…
Istikharah cinta kita…
Inilah tagihannya
Istikharah cinta kita…
Mujahadah itulah maharnya!
@artikel PMJ#


Sunday 10 February 2013

#*~HARAM menyambut hari kekasih/Valentines Day#~*

#(Sambutan 14 Februari sebenarnya banyak berkaitan amalan ritual penganut Kristian.)#
TIBANYA 14 Februari tidak lengkap tanpa peringatan supaya umat Islam tidak menyambut Hari Kekasih atau Valentine’s Day yang sudah menjadi sebahagian budaya masyarakat khususnya generasi muda sekarang.
Ada berpendapat usah dibangkitkan isu itu kerana hanya akan menjadi pencetus kepada amalan bercanggah dengan syariat Islam. Namun, ada baiknya dibincangkan perkara ini sebagai peringatan kepada mereka yang sudah memasang niat untuk meraikannya.
Malah, ia sebagai penjelasan kerana ada yang cuba menghalalkan sambutan Hari Kekasih ini supaya perancangan meraikannya tidak dipandang serong dengan pendapat, ia adalah hari untuk menterjemahkan perasaan kasih sayang bukan saja kepada kekasih, malah juga keluarga serta sahabat handai.
Hakikatnya, apa juga alasan diberikan untuk membolehkan Hari Kekasih disambut terutama oleh golongan muda Islam, Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memutuskan bahawa amalan menyambut Hari Valentine adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam.
Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan:
“Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan Islam. Roh perayaan itu mempunyai unsur Kristian, amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam.”
Buku Elak Sambut Valentine’s Day terbitan JAKIM membincangkan secara lanjut alasan mengapa umat Islam dinasihatkan supaya tidak meraikan hari yang mengambil sempena nama paderi besar Kristian Saint Valentine.
Berdasarkan fakta dalam buku itu, bagi merungkaikan isu kenapa umat Islam perlu elak menyambut Hari Kekasih, ialah dengan mendalami dan memahami apakah maksud Valentine itu sendiri serta asal usul ia menjadi sebuah perayaan.
Valentine dalam bahasa Inggeris atau Valentino dalam bahasa Itali adalah berasal daripada nama sebuah keluarga berbangsa Rom, iaitu Valentinus yang juga berasal daripada bahasa Latin iaitu valens yang bermaksud: kuat, aktif, sihat dan seumpamanya (laman web Behind The Name: The Etemology dand History of First Name).
Menurut sejarah pula, perkataan Valentine diambil sempena nama seorang paderi besar Kristian pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu Saint Valentine. Jasa beliau yang berjaya menumpaskan kerajaan Islam di Cordova, Sepanyol pada 14 Februari 270 masihi begitu bermakna bagi Ratu Isabella sehingga dianggap sebagai kekasih rakyatnya sendiri.
Justeru, 14 Februari disambut setiap tahun oleh rakyat Cordova bagi merayakan kemenangan itu dengan dinamakan hari Valentine.
Ada tiga pendapat mengenai asal-usul Hari Valentine. Pertama, Hari Valentine bermula ketika pemerintahan empayar Rom iaitu dengan menetapkan 14 Februari sebagai hari cuti orang Juno, ratu kepada dewa dan dewi Rom.
Hari berikutnya iaitu 15 Februari bermulanya Pesta Lupercalia iaitu perayaan tradisional masyarakat Rom iaitu mana pada malam pesta berkenaan, nama gadis Rom ditulis atas kertas dan dimasukkan ke dalam bekas. Setiap pemuda akan mencabut nama dalam bekas itu dan nama yang terpilih akan menjadi pasangannya di sepanjang pesta berlangsung.
Pendapat kedua pula menyatakan pada 14 Februari 270 masihi, St Valentine dibunuh kerana pertelingkahannya dengan Raja Romawi yang diperintah oleh Raja Claudius II (268-270 masihi). Pada waktu itu Raja Claudius membatalkan semua perkahwinan dan pertunangan kerana Rom banyak terbabit dalam peperangan.
Menyedari hakikat itu, St Valentine dan St Marius mengahwinkan orang Kristian dengan pasangan mereka secara rahsia. Akibat perbuatan itu, St Valentine ditangkap dan diheret, yang akhirnya dihukum belantan sehingga mati serta dipenggal kepalanya pada 14 Februari tahun 270 masihi.
Bagi memperingatinya sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup, maka 14 Februari dijadikan sebagai hari memperingati kematian St Valentine sebagai upacara keagamaan.
Pendapat ketiga pula menyatakan Hari Valentine diambil daripada nama seorang paderi yang paling berpengaruh pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu St Valentine yang status kedudukannya adalah di tempat kedua tertinggi selepas Pope.
Apabila St Valentine menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan pasangannya dari pengamal Protestan sewaktu kerajaan Sepanyol berjaya menumpaskan kerajaan Islam, timbul kegemparan rakyat Cordova kerana St Valentine adalah paderi Katolik yang tidak boleh berkahwin dengan pengamal Protestan, lebih-lebih lagi paderi sememangnya tidak boleh berkahwin.
Tindakan St Valentine yang mengambil keputusan berkahwin dengan pasangannya itu menimbulkan rasa murka Ratu Isabella, lalu memenjarakannya buat sementara waktu. Ratu menetapkan 14 Februari sebagai Hari Kekasih untuk St Valentine sendiri.
Sejarah di atas jelas menunjukkan bahawa Hari Valentine adalah perayaan keagamaan yang disambut orang Kristian. Malah jika merujuk kepada kenyataan pihak Kristian hari ini, mereka masih menganggap Hari Valentine sebagai satu ritual dalam agama Kristian.
Laman web Spiritrestoration.org : The Premier, Ecumenical Christian Website. A Resource For Mature Christians and Scholars di bawah tajuk Pengertian Hari-Hari Suci Keagamaan – indeks Saint Valentine’s Day menyebut: Perayaan Kristian terhadap kecintaan kepada Tuhan, dipersembahkan buat Jesus dan di kalangan penganut Kristian. St Valentine adalah syahid abad ketiga. Hari ini dilihat begitu meluas sekali dirayakan di Amerika Syarikat sebagai perayaan cinta di zaman sekular.
Termaktub dalam laman web Catholic Encyclopedia pengiktirafan bahawa walau dalam apa juga versi berkenaan dengan St Valentine, kesemua mereka dianggap sebagai syahid. Petikan menyebut: ’sekurang-kurangnya ada tiga orang St Valentine yang berbeza, semua mereka adalah syahid, ia disebut sebagai golongan syahid yang terawal pada tarikh 14 Februari.’
Berdasarkan fakta itu, jelas sekali Hari Valentine adalah perayaan yang menjadi amalan ritual agama Kristian. Ini sekali gus bercanggah dengan prinsip Islam yang tidak membenarkan umatnya meniru identiti atau cara hidup agama lain lebih-lebih lagi dalam soal membabitkan akidah Islam.
Islam sangat prihatin serta menginginkan supaya umatnya mempunyai identiti tersendiri dan berbeza dengan umat lain. Kerana itu penghayatan akidah Islam, pelaksanaan ibadah, muamalah dan akhlak serta tradisi yang ada pada umat Islam tidak boleh sama dengan umat lain.
Dalam erti kata lain, umat Islam tidak boleh mencampur adukkan akidah dan amalan ibadat agamanya dengan akidah dan ibadat agama lain.
Firman Allah yang bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat dan secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.” (Surah al-Kafirun, ayat 1-6)
Demikian juga penampilan peribadi umat Islam tidak boleh sama dengan umat lain dalam hal bersifat individu seperti dalam hal berpakaian, minuman, hiasan rumah, gaya hidup, penampilan yang dikhuatiri bercanggah dengan identiti dan syariat Islam.
Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan daripada amalan kami maka ia akan ditolak.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
sumber ilmu :om~