Saturday 19 January 2013

#@#*(Salam Maulidur Rasul 1434H)*#@#

Assalamualaikum....

Hari kelahiran Rasulullah semakin dekat. Seperti biasa kita umat Islam seluruh dunia dengan rasa syukur dan gembira menyambutnya. Maulidur Rasul tahun 2013 membawa temaWasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah. Mesti ramai yang nak tahu, apakah maksudwasatiyyah? Merujuk kepada kamus arab wasatiyyah adalah daripada perkataan al-Wasat(الوسط) yang diterjemahkan dari segi bahasa dengan makna pertengahan. Seterusnya diistilahkan dari segi Islam dengan maksud adil, sederhana dan terbaik.



Maka tafsiran Wasatiyyah yang tepat hendaklah mengikut hakikat kerasulan dan ajaran Islam seluruhnya. Ia adalah daripada petunjuk al- Quran supaya umat Islam menjadi umat yang adil dan pilihan dengan beriman, beramal dan berakhlak dengan Islam, sehingga menjadi contoh kepada umat manusia seluruhnya. Mereka juga layak menjadi saksi atas perbuatan orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dan menentang para Rasul, apabila semuanya menghadapi pembicaraan dalam mahkamah di akhirat.

Hakikat umat Islam yang menjadi contoh ditengah masyarakat manusia itu dijelaskan oleh ayat-ayat al-Quran yang lain bagi memenuhi ciri Ummah Wasatan yang layak menjadi contoh kepada seluruh umat manusia dan saksi pada hari kiamat, antaranya firman Allah (maksudnya):


Kamu adalah umat yang terbaik yang dikeluarkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah.(Surah Ali Imran: 110)
Bersempena sambutan Maulidur Rasul yang diadakan saban tahun  menuntut kita sama-sama menghayati dan mencontohi ketabahan serta kesungguhan baginda dan para sahabat dalam menegakkan syiar Islam sehingga terpancar kecemerlangan dan kegemilangan Islam merentasi dunia timur dan barat. Selain itu, nabi Muhammad juga amat dikenali sebagai seorang yang suka menghubungkan silaturrahim, menolong orang yang dalam kesusahan, membantu  anak yatim dan ibu tunggal, seorang yang pemurah dan sebagainya. Masyarakat Arab  Quraisy  amat senang dengan keperibadian yang dimiliki oleh nabi Muhammad, baginda pernah hidup bersama-sama masyarakat Quraisy, pernah bersama-sama membangunkan semula Kaabah yang runtuh akibat banjir. Baginda  dikenali di kalangan masyarakat Arab sebagai seorang yang baik  budi pekertinya, seorang yang amanah sehingga digelar al-amin. 
Tetapi mengapa tiba-tiba nabi Muhammad menjadi orang yang paling mereka benci? Apakah orang Quraisy tidak kenal siapa baginda sehingga mereka ingin membunuhnya?  Mereka benar-benar telah merancang untuk membunuh nabi Muhammad dengan berbagai-bagai perancangan jahat, namun baginda diselamatkan oleh Allah. Allah merakamkan perancangan jahat orang musyrikin untuk membunuh nabi Muhammad S.A.W akan tetapi Allah telah menggagalkan perancangan mereka. Firman Allah dalam surat al-Anfal ayat 30:

"Ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang kafir musyrik ( Mekah )  menjalankan perancangan jahat terhadapmu untuk menjarakkanmu atau membunuhmu atau mengusirmu. Mereka menjalankan perancangan jahat dan Allah menggagalkan perancangan jahat (mereka). Allah sebaik-baik yang menggagalkan perancangan jahat".
Baginda Rasulullah S.A.W. mempunyai pandangan yang jauh, akal fikiran yang tajam , semangat juang yang tinggi, kekuatan mental dan rohani serta tabah dan berani dalam menempuh pelbagai cabaran dan dugaan yang seharusnya dicontohi, sama ada di waktu penghijrahannya dari kota Mekah ke kota Madinah atau selepasnya. Oleh yang demikian, umat Islam  hendaklah bangun membina kekuatan rohani seimbang dengan kekuatan mental dan jasmani seperti yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah S.A.W. dalam menyebar luas syiar Islam. Oleh itu setiap umat Islam  adalah bertanggungjawab  mempertahankan agama Allah.

Ketokohan nabi Muhammad sebagai manusia teragung yang pernah dilahirkan di muka bumi ini memang tidak dapat disangkal lagi walaupun oleh orientalis-orientalis dari barat. Jika hendak dibandingkan dengan ajaran lain seperti Kristian, Buddha, mahupun Yahudi, Rasulullah (S.A.W) merupakan satu-satunya pengasas agama yang secara jelas sejarahnya diceritakan sejak baginda dilahirkan sehingga baginda wafat. Ketokohan Nabi Muhammad (S.A.W) dalam memimpin sebuah negara, menjadi seorang jeneral perang, menunjukkan contoh yang terbaik kepada umatnya bagaimana untuk menjadi seorang sahabat, ayah, suami, anak dan lain-lain menjadikan baginda sebagai manusia yang teragung yang pernah dilahirkan hingga ke hari ini.
Sebagai seorang daripada jutaan umat Muhammad, kita patut menyambutnya dengan memahami konsep dan sebab mengapa kita menyambut maulidur rasul setiap tahun. Bukannya kita terikut-ikut dengan budaya orang lain tetapi kerana kita sedar bahawa penyatuan ummat perlulah berasaskan kepada ciri-ciri yang baik dan murni dan salah satunya adalah dengan Wasatiyyah.



 Selamat Menyambut Maulidur Rasul pada 12 Rabiul'awal tahun 1434 Hijrah bersamaan dengan 24 Januari 2013.

No comments:

Post a Comment