Wednesday 15 February 2012

~!hukum bersolek atau tabarruj~!

MUQADDIMAH

Tabarruj, ialah mendedahkan kecantikan rupa paras, samada kecantikan itu di bahagian muka atau di anggota-anggota badan yang lain. Al-Bukhari RahmatuLlahi ‘Alaihi ada berkata: “Tabarruj, iaitu seseorang wanita yang memperlihatkan kecantikan rupa parasnya.”

Untuk menjaga masyarakat dari bahaya pendedahan‘aurat dan di samping menjaga kehormatan wanita dari sebarang pencerobohan, maka dengan yang demikian Allah melarang setiap wanita yang telah berakal lagi baligh dari bermake-up (tabarruj).
Maka dengarlah wahai belia-beliawanis Islam semua, segala suruhan Allah s.w.t andainya anda semua beriman denganNya, Allah telah berfirman dalam al- Quran melalui surah al-Nur, ayat 31 yang bermaksud:

“Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan jangan menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara mereka, putera-putera lelaki mereka, atau putera- putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang ‘aurat wanita. Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.” (surah al-Nur, ayat 31)

Ketahuilah bahawa kain tudung yang dimaksudkan Allah dan dalam firmanNya yang bermaksud: “Hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya”(al-Nur: 31) bukanlah terhenti di bahagian kepala sahaja, malahan menutupi bayangan mutiara yang tersisip di dada juga disuruh. Sesiapa yang mendedahkan bahagian kepala atau bahagian dadanya, maka sudah jelas, ia bukan dari seorang yang menghormati suruhan Allah s.w.t. Akibat dari kecuaian dan kelalaian tersebut sudah pasti seseorang itu menerima azab yang pedih di hari akhirat kelak.

Awas! Wahai golongan wanita, Allah telah berfirman yang bermaksud: “Janganlah menampakkan perhiasan”(al-Nur: 31). Dengan ini jelas bahawa sebarang corak perhiasan di anggota badan atau di pakaian, adalah boleh membawa fitnah. Dengan inilah Allah melarang bermake-up. Larangan seperti ini hanya sanggup ditaati oleh wanita-wanita yang beriman sahaja kerana takut kepada kemurkaan Allah dan siksaan dariNya.

Pengertianperhiasan bukanlah terhad pada alat-alat solek atau fesyen-fesyen pakaian sahaja, malahan perhiasan yang paling istemewa adalah terletak pada tubuh badan seseorang wanita itu. Sekiranya kecantikan rupa paras seperti ini didedahkan kepada orang lelaki, maka perbuatan demikian juga dinamakan TABARRUJ!. Ada pula dikalangan wanita yang bertudung, disamping tudung ini diletakkan pula di atasnya kaitan bunga dan ukiran yang menarik, manakala rambutnya yang di bahagian hadapan sengaja dihulurkan keluar dari kain tudung, dan terjuntai menutupi sebahagian dahi dan lesung pipitnya. Andainya angin bayu meniup lalu, sudah jelas rambut tadi terlambai-lambai mengikut arus bayu.

Ada fesyen pula, rambutnya disanggul dan dihias pula laksana mahkota, kerana dengan ini, setelahnanti dilekatkan dengan kain tudung, semakin jelas bentuk (tubuh badan) dan keindahan mahkotanya.

Idea dan usaha ini dilakukan supaya tambah menarik setiap mata memandang, dan kononya supaya dianggap orang, bahawa ia juga seorang yang mentaati Allah, di sampung pandai pula menyesuaikan diri dengan berbagai-bagai fesyen pakaian mengikut keadaan zaman.

Sebenarnya maksud dan usaha anda sedemikian rupa adalah salah. Allah s.w.t lebih mengetahui segala persoalan yang tersirat di dalam otak anda. Penzahiran tindakan ini bererti kamu menipu diri sendiri. Akhirnya anda juga tergolong di dalam golongan wanita-wanita yang bermake-up seperti dan firman Allah dalam ayat yang lalu, dan padahnya bukan sama??!!

Dari sini mari pula kita meninjau ayat Al-Quran yang bermaksud “Dan jangan mereka menghentakkan kaki agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan” (al-Nur: 31). Dari kandugan ayat ini, Allah juga melarang setengah golongan wanita (tradisi mereka ini bergelang kaki) dari menghulurkan kaki hingga terlihat perhiasan tersebut.

Andainya baju yang dipakai menutupi ‘aurat, tetapi oleh kerana hoyongan badan ketika berjalan, pakaian itu turut terhoyong hingga kadang-kadang ternampak bentuk badan di setengah bahagian anggota, keadaan seperti ini dimaafkan.

Berikut pula mari kita merenung firman Allah khasnya yang ditujukan kepada isteri-isteri Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Hai isteri-isteri Nabi (a.s), kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertaqwa. Kerana itu janganlah kamu terlalu lunak dalam bicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada perasaan serong di dalam hatinya, tetapi ucaplah perkataan yang baik.” (al-Ahzab: 32)

Dari ayat ini dapatlah difahamkan bahwa suara lemah-lembut adalah sebahagian daripada ‘aurat wanita juga.

Kembali lagi kita kepada jenis alat-alat make-up. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Andainya wanita keluar dari rumah serta memakai bau-bauan, maka dia sudah dianggap melakukan perzinaan.” 

Penggunaan wangi-wangian sembur atau jenis-jenis bauan bagi kaum wanita di waktu keluar dari rumah adalah dilarang, keranasyari’at Islam, apabila melarang perzinaan, maka segala sumber-sumber dan ciri-ciri yang membawa kepada perbuatan keji tadi semuanya juga dilarang.

Ummu Salamah ada menceritakan, maksudnya begini: Asma’ binti Abu Bakar telah menziarahi Rasullullah s.a.w pada suatu hari dengan berpakaian nipis. Lantas Rasulullah s.a.w menasihatinya dengan bersabda yang maksudnya: “Wahai Asma’, sesungguhnya seseorang gadis yang telah berhaid (baligh), tidak harus baginya menzahirkan anggota badan, kecuali ini dan ini.” Di samping itu Rasulullah mengisyaratkan kepada muka dan dua tapak tangan.

Alangkah bahagianya seorang wanita andainya ia bersifat sederhana di luar rumah, tetapi menjadi peragawati di dalam rumah. Sudah tentu ia tidak menerima teguran yang banyak, kerana bukan mudah untuk melayan selera jumhur (orang ramai), tetapi suami di rumah mudah dilayan. Jika masih ada teguran darinya itulah alamat suami yang sayangkan isterinya. Besok atau setelah menerima wang gaji, segala kehendak pasti dipenuhi.

Kesimpulan maksud hadith di atas, bolehlah difahamkan bahawa Allah s.w.t membenarkan bagi wanita membuka muka dan dua tangan jika anggota- anggota tersebut tidak disolek. Andainya anggota-anggota tersebut dihiasi, umpamanya muka berbedak, kening bercelak, bibir bergincu dan sebagainya, maka kawasan muka seperti ini wajib juga ditutup dengan kain tudung. Begitu juga dua tapak tangan hingga ke pergelangan. Andainya dihiasi (seperti berinai atau seumpanya) maka wajiblah ditutup seperti bersarung tangan.

Tujuan suruhan ini adalah untuk menghindarkan dari berlaku sebarang kemungkaran. Setelah seseorang wanita tidak lagi bersolek kecuali untuk dipersembahkan kepada suaminya, maka tertegaklah suatu benteng yang dapat menyekat sebarang renungan dan kerlingan mata keranjang.

Pendedahan perhiasan yang dilakukan oleh wanita dengan mempamerkan kejelitaan tubuh mereka dianggap sebagai satu penipuan yang besar terhadap lelaki. Pendedahan tersebut boleh menimbulkan berahi setiap lelaki, istimewa pula bagi mereka yang mempunyai syahwat haiwaniah. Perbuatan tadi umpama membentangkan juadah makanan di hadapan mereka, mata siapkah yang tidak terbeliak ? Selera siapakah yang tidak terbuka ? Natijah daripada ini pula Allah s.w.t tidak ketinggalan untuk memerintah kaum lelaki supaya mereka memelihara penglihatan mereka daripada melihat perkara-perkara yang diharamkan.

Larangan tersebut terdapat di dalam firmanNya yang bermaksud: 

“Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman: Hendaklah mereka memelihara (menahan) pandangan dan memelihara kemaluannya…”(al-Nur: 30) 


Demikian juga Allah menyuruh perempuan supaya menahan pandangan mereka dengan firmanNya:  

“Hendaklah mereka menahan pandangannya…..” Analisa ini semua ialah: Pandangan boleh membawa kepada zina


TRADISI BERMAKE-UP (BERSOLEK)

Ada di kalangan manusia yang menganggap bahawa bersolek adalah satu tradisi bagi golongan

wanita. Oleh itu sekiranya seorang perempuan melengkapkan dirinya dengan berbagai-bagai fesyen pakaian, dan beraneka jenis alat solek di badan, tidaklah menjatuhkan imej dan moralnya, dan tidak pula membangkitkan keinginan setiap mata yang memandang……!

Pemikiran dan dakwaan ini sudah menyeleweng jauh dari logik dan kebenaran. Adakah syahwat setiap manusia itu terbatas? Umpamanya seorang suami yang berdepan dengan wanita yang lain selain dari isterinya, apakah perasaan syahwatnya tidak akan beraksi? Jika perkara ini benar-benar berlaku, nescaya perceraian dan pengkhianatan rumahtangga dalam masyarakat tidak akan berlaku sama sekali. Sebagai ringkasnya, apakah anggapan ini semua betul……..?

Sebenarnya golongan lelaki dan wanita memiliki perlainan sifat-sifat atau perbezaan-perbezaan sifat fizikal di samping berbeza pula di bidang naluri masing-masing. Kaum wanita memiliki fizikal yang khas, tingkah laku mereka lemah lembut serta memiliki hormon-hormon Fauicolone dan Prageslerone. Semua aspek ini adalah sesuai untuk menjadi seorang ibu. Sedangkan kaum lelaki pula memiliki badan yang tegap serta tenaga yang kuat yang mengatasi tenaga kaum wanita. Istimewa pula kaum lelaki mempunyai benih-benih zuriat (semen). Sifat- sifat ini semua sesuai pula untuk menjadi seorang bapa.

Secara umum, sifat-sifat normal tadi tidak mungkin berubah atau pun bertukar di antara satu sama lain. Berlakunya kejadian ini semua, Allah s.w.t telah menjelaskan di dalam ayat-ayatNya yang bermaksud:

“Bukankah dia didahului setitis mani yang ditumpahkan ke dalam rahim, kemudian mani itu menjadi segumpal darah. Lalu Allah menciptakan dan menyempurnakan. Kemudian Allah menjadikan daripadanya sepasang lelaki dan perempuan”(al-Qiamah: 37-39).


 AMARAN ALLAH

Allah s.w.t telah memberi amaran, khasnya ditujukan kepada orang-orang yang beriman di dalam firmanNya yang bermaksud: “Janganlah kamu mendekati perbuatan zina…..” (al-Israk: 32). Natijah ayat tersebut, Allah s.w.t telah memerintahkan orang-orang Islam supaya menjauhkan diri dari sebarang perbuatan yang membawa kepada kemungkaran. Umpamanya, penzinaan tidak mungkin berlaku andaikata tidak didahului dengan sentuhan perasaan dan sambutan. Oleh itu sudah menjadi syari’at Islam, apabila mengharamkan kemungkaran, maka segala jalan yang membawa kepada kemungkaran tersebut juga diharamkan.

Syeikh Muhammad al-Ghazali ada menyatakan: “Andai kita sudah mengenali jenis penyakit yang dihadapi, masakan pula berlaku perbalahan cara mengubatinya di kalangan kita.”

Rasulullah s.a.w menjelaskan lagi dengan sabdanya yang bermaksud:

“Penglihatan yang bernafsu sudah dianggap penzinaan.” Sabdanya lagi: “Tiga jenis mata yang tidak disentuh api neraka: mata yang tidak memandang perkara- perkara yang diharamkan Allah, mata yang berwaspada di dalam perang, mata yang menangis kerana takutkan siksaan Allah.”


Nabi ‘Isa a.s pula bersabda yang maksudnya berbunyi:

“Sesiapa yangmemandang ke arah wanita dengan perasaan berahi maka dia sudah dianggap melakukan penzinaan di dalam hati.”


Kepuasan melalui pandangan merupakan salah satu kepuasan yang amat besar. Sebagai bukti, cuba kita lihat, berapa banyak terdapat di kalangan masyarakat yang sanggup menghabiskan wang ringgit yang banyak untuk memperlengkapkan perabot rumah dalam bentuk yang indah. Umpamanya alat- alat kegunaan di dapur seperti pinggan mangkuk, gelas cawan, yang semuanya berset (beserta berpasangan). Semua alat-alat ini beraneka bentuk dan fesyen. Malahan ada pula di antaranya yang sengaja dipamerkan di ruang tamu. Sudah tentu bijana-bijana yang dipamerkan itu lebih mahal dan menarik dari digunakan di dapur. Penzahiran ini, semuanya menarik perhatian pandangan setiap tetamu yang datang. Perbuatan ini seolah-olah tuan rumah itu membentangkan santapan mata terlebih dahulu sebelum dihidangkan juadah makanan.

Memang benar apa yang dikatakan ‘Makanan mata lebih berharga dari makanan mulut’. Malahan dengan melalui pandangan mata, seseorang itu terbuka selera untuk menjamah makanan yang dihidangkan di hadapannya.

Keadaan ini semakin menjadi-jadi di kalangan masyarakat kita pada hari ini. Cuba perhatikan, orang-orang perempuan pada zaman ini terutamanya anak- anak gadis. Mereka tidak akan keluar ke tempat-tempat belajar, kelab-kelab wanita, tempat-tempat kenduri dan sebagainya sebelum muka ditempel dengan berbagai alat make-up. Tujuan perbuatan ini adalah untuk menarik setiap lelaki yang ditemui di jalan. Apatah lagi bagi pemuda-pemuda di kaki lima, bagaikan orang mengantuk yang disorongkan bantal.

Oleh itu berwaspadalah kamu wahai orang-orang beriman. Ingatlah, ada barang-barang di dunia ini yang boleh dipamerkan dan dilihat. Di samping itu ada pula yang tidak boleh dipamerkan dan dilihat. Tidak dinafikan bahawa setiap insan mempunyai perasaan (emosi) seperti suka-duka, inginkan pemandangan yang indah, tetapi itu adalah perkara biasa atau normal sahaja. Dorongan syahwat tidak akan bertindak ganas jika tidak dilayani dengan mendedahkan perkara- perkara yang membangkitkan berahi di hadapannya. Punca keberahian tidak akan lahir tanpa pancaindera. Oleh itu memang tepat apa yang dikatakan oleh penyair “punca maksiat terbit dari penglihatan”. Rangkaian maksud syair tersebut dapat dilihat seperti di bawah:

Setiap kejadian dari pandangan
Bagaikan kebakaran dari serpihan
Banyak kerlingan menikam kalbu
Kalbu ditikam tanpa panahan
Selagi manusia mengikut perasaan
Bahawa di hadapan tidak kesedaran
Relakan bencana datang melanda kemuliaan
Usah disambut andai datang membawa kehancuran

SATU KEHINAAN

Sebilangan besar wanita sekarang berlagak bagaikan pengantin baru bila keluar dari rumah. Mereka berpakaian indah mengikut fesyen. Ada pula kain bajunya terlalu nipis hingga terbayang bentuk ukuran badan. Dengan perbuatan ini, seolah-olah mereka berkata-kata di dalam hati: “Siapakah tidak terpesona bila melihat keindahan fesyen pakaian yang membalut tubuhku? Siapakah tidak tertarik pada bentuk badan dan langkahku dan siapa….?”

Sedarkah mereka bahawa perbuatan tersebut tak ubah langkahnya seperti penjual manik-kuran di jalan-jalan atau di kaki lima. Setiap yang lalu pasti memerhatikan. Jika tidak melihat, penjual sendiri datang menawarkan diri. Tapi sayang ……! Ramai pemerhati dari pembeli.

Andainya golongan ini berfikir sejenak, nescaya timbul perasaan malu. Natijahnya, sudah pasti mereka akan menutup ‘aurat dan keindahan rupa paras mereka. Allah s.w.t ada berfirman yang bermaksud:

“Hai Nabi ‘Alaihissalam, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuan dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab. Yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali. Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyanyang” (al-Ahzab: 59).


Sekitar ayat tadi, dapatlah difahamkan bahwa Allah s.w.t telah menjelaskan kedudukan wanita-wanita yang baik. Sebagai model untuk Muslimat semua, Rasulullah s.a.w menyuruh isteri-isteri dan anak-anak perempuan supaya mereka memakai jilbab (purdah).

Wahai wanita-wanita yang beriman! Hendaklah kamu semua berpakaian menutup ‘aurat. Setiap pergaulan dan percakapan mestilah berpandukan Islam. Dari aspek-aspek inilah dapat diukur sejauh manakah keimanan kamu dalam melaksanakan suruhan Allah dan RasulNya.

Tanggungjawab yang anda semua lahirkan itu merupakan satu kaedah yang boleh menjadi tauladan kepada wanita-wanita yang lain. Di samping itu pula, dapat dibezakan di antara golongan yang beriman lagi beramal dengan golongan yang tidak beriman. Golongan beriman sudah tentu dihormati dan disegani oleh setiap golongan dan lapisan masyarakat.

Duhai belia-beliawanis Islam! Andainya pakaian dan tingkah laku anda tidak ada bezanya dengan penari-penari di kelab malam, atau pakaian kamu sama sahaja dengan pakaian wanita-wanita yang tidak beriman, di manakah letaknya bukti dan di manakah letaknya keperibadian sebagai wanita Islam? Iman terletak di hati sudah tentu tidak dapat dilihat. TETAPI penzahiran keimanan dapat dilihat dari amalan dan pakaian serta tingkah laku.

Bertudung kepala dan berpakaian menutup ‘aurat adalah di antara lambang wanita Islam. Perkara tersebut menjadi bukti di sisi wanita Islam dan melambangkan kemuliaan dan ketinggian moral serta budi pekerti mereka.

Awasilah diri kamu wanita-wanita Islam. Tutuplah ‘aurat kamu seperti yang disuruh oleh Allah dan RasulNya. Dengan tudung dan pakaian demikian kamu tak mungkin mengalami pandangan-pandangan liar, sindiran-sindiran yang tajam dan teguran-teguran sinis dari jejaka di kaki lima. Setiap jiwa dan anggota yang bersih, sudah pasti tidak rela dinodai. Berbeza dengan kaum wanita yang tidak beriman, jiwa raga mereka ini semua sudah jelas tidak bersih, sebab itulah kata-kata menyindir dan renungan yang tajam tidak terasa menghina. Jika kata-kata kesat seperti ini sudah terasa menyentuh perasaan mereka, tergoda sanubari, tentulah mereka sanggup menghabiskan wang ringgit yang banyak untuk membeli alat-alat solek, pakaian-pakaian yang mendedahkan ‘aurat mereka. Bukankah perbuatan ini semua untuk dijadikan ‘Free Show’, tontonan bebas, siapa saja boleh melihat dan menatap dengan sepuas hati tanpa bayaran tertentu.

Allah s.w.t telah menciptakan manusia dengan seindah-indah kejadian. Kaum wanita diciptakan sesuai dengan sifat keperempuanan dari segi jasmaniah dan naluri. Oleh itu kenapakah kaum wanita rela menukarkan dari rupa paras yang normal kepada wajah yang berlainan dari yang asal. Apakah mereka belum berpuas hati dengan kejadian naluri yang ada pada mereka….?

Seorang sasterawana Perancis yang terkenal berkata: “Secantik-cantik seorang gadis ialah yang tidak menyedari kerupawanannya”. Si cantik manis lagi rupawan tidak akan berhajat kepada segala alat-alat solek kerana ia sudah berpuas hati dengan apa yang ada padanya. Tetapi kenapakah masih ada yang berpura- pura menampakkan kejelitaannya andainya ia tidak memiliki kecantikan seindah orang lain. Muka yang berkerut dan berbintil-bintil ditempel bedak. Bibir yang pucat digincu. Rambut yuang pendek bagai wanita Habsyi ditambah dengan ciptaan palsu. Yang panjang dipendekkan hingga sukar dikenali jantinanya. Buah dada yang kempes disarungkan dengan coli yang besar lagi tajam. Apakah dari tindakan yang kamu ada-adakan ini semua boleh menguntungkan?

Sebenarnya pemuda yang siuman lebih mengerti manakah gadis yang asli dan manakah pula gadis celupan. Walaupun ditampal dengan seribu jenis alat solek, namun rugi di dunia dan di akhirat. Di dunia, kamu ditertawakan atau dipermain-mainkan orang, sedangkan di akhirat pula, kamu pasti menerima siksaan.


hasil carian sendri,hee:)

No comments:

Post a Comment